Seorang penuntut kolej swasta dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM800, setelah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan untuk memberi teman lelakinya makan kek batik.
Wanita itu diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 18 April lepas, selain dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Teman lelakinya yang merupakan penuntut sebuah universiti awam turut tidak terlepas dari hukuman apabila dikenakan denda RM1,000 atau penjara dua bulan.
Kedua-dua mereka yang berusia 22 tahun, mengaku bersalah bergerak dari satu tempat ke suatu tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan, di Jalan SP1/8, Subang Perdana, pada 9 malam 18 April lepas.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan dihukum mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, pihak polis menemui kedua-dua tertuduh di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan enjin tidak dimatikan dan alasan diberikan wanita itu ialah dia ingin memberi rakan lelakinya makan kek batik yang dibuatnya serta ketika tangkapan dibuat, lelaki itu sedang makan kek berkenaan.
Wanita itu telah dijemput oleh rakannya itu sebelum bergerak ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 800 meter dari rumah wanita itu, dan lelaki berkenaan sebelum itu pula telah bergerak dari rumahnya yang terletak empat kilometer dari tempat kejadian.
Peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili dua tertuduh itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira ini kesalahan pertama tertuduh dan menjelaskan anak guamnya tiada niat untuk melanggar PKP selain memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa hukuman penjara akan menjejaskan pembelajaran tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengambil mudah perintah PKP.
“Tertuduh (wanita) telah beri alasan sangat tidak munasabah, keluar dari rumah untuk jumpa tertuduh lelaki pada pukul 9 malam hanya untuk beri makan kek batik yang dibuat.
“Dalam tempoh PKP ini masyarakat harus ambil serius perkara seperti ini bagi mengelakkan penularan COVID-19 bertambah teruk,” katanya.
Sumber : Bernama