Suarez : ‘Dulu memang terkejut, tak sangka dibuang Barcelona, sekarang takde apa nak kesal’

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang Atletico Madrid, Luis Suarez mengakui dia terkejut apabila dimaklumkan khidmatnya sudah tidak diperlukan di Barcelona oleh Ronald Koeman.

Mana tidaknya, bintang sensasi Uruguay itu pantas menyesuaikan diri di Nou Camp setelah meninggalkan Liverpool dan selama enam musim di kelab Catalan itu, dia membantu Barcelona memenangi empat kejuaraan La Liga, empat kejuaraan Copa Del Rey serta dua kali menjulang trofi Supercopa De Espana.

Selain itu, dia menjulang Liga Juara-Juara Eropah pada musim sulungnya bersama Barcelona, Piala Super UEFA 2014 dan Piala Dunia Kelab 2015.

Dia juga menunjukkan sentuhan jaringan yang cukup hebat apabila meledak 198 gol di semua pertandingan, malah pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Barcelona serta Pemain Terbaik La Liga pada tahun 2015/16.

Begitupun, Ronald Koeman yang menggantikan Quique Setien pada Ogos tahun lalu, membawa perkhabaran duka buat Luis Suarez. Pengurus dari Belanda itu memaklumkan bahawa dia tidak berada dalam perancangannya yang sekaligus membawa kepada perpindahan pemain berusia 34 tahun itu ke Atletico Madrid.

Bercakap kepada El Transitor, Suarez meluahkan perasaannya ketika terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Barcelona.

“Apabila Barcelona memberitahu saya bahawa mereka tidak memerlukan khidmat saya, ia sangat sukar. Saya tidak menjangkakannya. Koeman memanggil saya dan memberitahu saya tidak berada dalam perancangannya.

“Selepas pengumuman rasmi, perbincangan sudah berlangsung bersama Atletico. Kalau diikutkan terdapat banyak tawaran kelab lain, bukan saja Juventus. Tapi, saya mahu melakukan keputusan yang tepat untuk diri sendiri dan keluarga,” kata pemain yang mula meletup namanya ketika bersama Ajax Armsterdam itu.

Ternyata ia satu keputusan tepat dan Luis Suarez nyata tidak menyesal dengan keputusannya untuk menyertai Atletico Madrid yang kini menduduki tangga teratas liga dengan kelebihan 10 mata. Bekas pasukannya pula bergelut dengan pelbagai krisis luar padang dan ketika ini berada di tangga kedua.

Malah Suarez sendiri sedang mendahului carta penjaring terbanyak La Liga setakat ini dengan 14 gol dan dia memuji impak yang diberikan oleh jurulatih Atletico, Diego Simeone terhadap prestasi permainannya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.