Subahan : Tiada layanan istimewa buat Khalid Jamlus atau sesiapa, sila ikut saluran

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiada layanan istimewa diberikan kepada bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus untuk menjadi salah seorang jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) Datuk Seri Subahan Kamal berkata sepertimana jurulatih-jurulatih lain, Khalid Jamlus juga perlu mengikut saluran yang betul.

“Kita bukan tawarkan dia tempat automatik, sebaliknya kita meminta dia memohon untuk menjadi jurulatih di AMD dan dia telah berbuat demikian.

“Kenyataan saya ini cukup jelas bahawa dia juga akan lalui proses sama seperti pemohon lain, harap tidak ada salah faham,” kata Subahan yang juga Timbalan Presiden FAM.

Subahan terdahulu hadir merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pemantapan NFDP di ibu negara pada Selasa.

Baca : Saya ada pengalaman, I’m somebody, takkan nak latih tukang kebun kan

Sebelum ini, Khalid Jamlus memberitahu dia telah ditawarkan jawatan membimbing skuad elit AMD di Gambang oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Shapawi Ahmad susulan pertemuannya dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal pada awal bulan ini.

Tindakan tersebut nyata mengundang rasa kurang senang dan kecaman dalam kalangan penyokong, malah beberapa jurulatih program pembangunan juga tidak ketinggalan menyuarakan rasa tidak puas hati kerana beranggapan bekas penyerang Perak itu mendapat layanan istimewa setelah kisah hidupnya menjadi viral.

Malah, tidak kurang yang menyifatkan Khalid Jamlus bukan orang sesuai untuk membimbing ‘budak-budak’ selepas beberapa siri kenyataannya yang viral sebelum ini.

Baca : Tanyalah mereka kenapa bekas pemain negara ada lesen nak jadi assistant coach pun tak dapat

FOKUS DAPATKAN LESEN A DULU

Bagaimanapun, Khalid mengakui berada dalam dilema kerana jika menerima tawaran berkenaan, dia terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang menetap di Lembah Klang.

“Saya masih fikirkan kerana dulu ketika bergelar pemain profesional saya kerap tinggalkan anak dan isteri selama dua ke tiga tahun untuk bermain bola.

“Bila dah usia begini, saya perlu fikirkan secara mendalam kerana saya tak mahu lagi berjauhan dengan mereka. Mungkin pilihan yang lebih baik, saya harap ada pasukan di Lembah Klang supaya dekat dengan keluarga,” katanya ketika Sesi Bertemu Peminat di Cafe Bonda Bangi baru-baru ini.

Jelas Khalid, perancangan terdekatnya adalah mengambil kursus kejurulatihan lesen A.

“Apapun, walau pasukan mana sekalipun tumpuan sekarang adalah nak ambik dulu lesen A. Lagipun, Datuk Shapawi kata kalau saya terima jawatan itu, kena ada lesen A juga walaupun saya sudah ada lesen B.

“Jadi saya akan fokus kepada kursus jurulatih buat masa ini dan nama pun saya dah daftar cuma tunggu saja untuk ikutinya. Selepas itu, tahun depan kita tengok macam mana, kalau dapat pasukan yang dekat sini lagi baik,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.