Masalah kewangan atau isu tunggakan gaji dapat dielakkan sekiranya pasukan-pasukan di Liga Malaysia berbelanja dengan mengukur baju di badan sendiri sepertimana dilakukan PJ City FC.
Itu saranan dan nasihat daripada Presiden PJ City, Datuk Seri Subahan Kamal, yang menekankan bahawa prinsip berbelanja secara berhemah diamalkan pasukan itu adalah antara punca mereka boleh ‘hidup’ lama dalam Liga Malaysia yang sememangnya mencabar dari aspek kewangan.
PJ City menurut Subahan tidak sewenang-wenangnya membayar gaji tinggi walaupun pemain itu ada reputasi hebat, sebaliknya mengikut standard dan pencapaian terkini selain tidak langsung menggunakan pemain import buat musim kedua berturut-turut.
“Pada pandangan saya secara peribadi, itu memang satu formula terbaik tetapi setiap pasukan dan pengurusan ada cita rasa tersendiri, ada visi sendiri. Cuma bagi saya itu cara terbaik kalau kita nak kurangkan perbelanjaan pasukan,” ujar Subahan Kamal.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi terbaru PJ City FC bagi musim 2022.
Tambahnya lagi, dengan tidak berbelanja besar bukanlah bermakna PJ City sebuah kelab yang tiada cita-cita.
“Kita bukan sahaja nak menang piala tetapi kita juga nak melahirkan lebih ramai pemain yang dapat diberikan peluang bermain, supaya jurulatih kebangsaan dapat melihat prestasi mereka. Alhamdulillah, formula yang kita ada sekarang berkesan kerana tiga hingga lima pemain telah dipanggil untuk pasukan kebangsaan,” katanya.
Sebagai rekod, PJ City pada musim pertama tanpa import mengakhiri saingan Liga Super 2021 di tangga ketujuh dan pada musim ini pula membuka kempen dengan langkah kanan setelah menewaskan Melaka United namun mereka tewas aksi kedua kepada Sabah FC.