Subkhiddin Kecewa Jurulatih Pertahan Pemain Buat Kesalahan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh menegaskan seseorang jurulatih atau pegawai yang bertanggungjawab mengendalikan pasukan tidak wajar mempertahankan pemainnya yang melakukan kesalahan.

Menurutnya jurulatih perlu bertindak sebagai seorang bapa yang mendidik anak ke arah kebaikan dan memberi teguran supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

“Paling saya kecewa ada pegawai mengatakan kesalahan itu tidak patut diletakkan kepada pemainnya semata-mata kerana pengadil yang menyebabkan mereka melakukan kesalahan berkenaan.

“Kita tak boleh jadikan orang lain sebagai sebab untuk melakukan atau menutup kesalahan yang kita buat. Kita jangan pula jadi batu api. Kalau sebut pasal pegawai…pegawai sepatutnya seorang lebih bijak dan lebih berpengalaman dalam industri yang diceburi,” katanya.

Walaupun tidak memetik nama sesiapa, kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada jurulatih Sarawak United, E.Elavarasan yang bersikap defensif terhadap pemainnya susulan insiden serangan ke atas pengadil selepas tamat perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 10 September lalu.

Pada sidang media selepas perlawanan, Elavarasan berkata pemainnya tidak patut disalahkan kerana tindakan mereka menyerang pengadil adalah berpunca daripada kepincangan mutu pengadilan.

Berita Berkaitan : Inilah Natijah Bila Letak Pengadil Takde Pengalaman – Elavarasan

Susulan insiden tersebut, Jawatankuasa Tatatertib telah menggantung dua pemain iaitu Amer Saidin (dua perlawanan dan denda RM2,000) dan Badrul Affendy Fadzil (empat perlawanan dan denda RM4,000) serta dua pegawai pasukan Sarawak United.

Elavarasan pula digantung selama 12 bulan dan denda Rm10,000 kerana kenyataannya yang mencemarkan nama baik FAM namun hukuman penggantungan ke atasnya ditangguhkan terlebih dahulu.

Manakala penjaga gol Sharbinee Allawee pula digantung lima perlawanan atas dakwaan kelakuan tidak menunjukkan semangat kesukanan, selain didenda RM7,000.

Subkhiddin berkata mana-mana pemain senior sepatutnya menampilkan imej dan sikap terpuji yang wajar diteladani pemain-pemain muda.

“Kalau benda itu baik, dia (pemain muda) akan ikut. Kalau benda itu buruk pun dia akan ikut. Apa yang mereka (senior) buat, budak-budak akan ikut. Jadi kesannya kalau kita bertindak kasar, ia akan menjadi ikutan kepada pemain yang menjadikan mereka idola iaitu pemain-pemain di sekolah dan liga di kampung.

“Jadi sebagai pemain, pamerkan perkara positif sebab semua orang boleh nampak apa kita lakukan di padang dan sebagai pemain kita jangan tunggu dikenakan hukuman. Kita mesti ada satu keazaman tak nak buat benda yang boleh jadi contoh tidak baik,” katanya kepada Bernama.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.