Subkhiddin : “Tak perlu beremosi, bukan level kita untuk lawan pengalaman Ryuji Sato”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh meminta penyokong bolasepak tanah air supaya tidak terlalu beremosi dan ‘menyerang’ Ryuji Sato, pengadil yang mengadili perlawanan antara Harimau Malaya menentang Vietnam pada Jumaat lalu.

Ryuji Sato menghadiahkan penalti yang membawa kepada gol kemenangan Vietnam pada minit ke-82, tetapi perkara yang menimbulkan kemarahan penyokong adalah kewajaran penalti itu diberikan.

Rata-rata penyokong menyifatkan Ryuji Sato tertipu dengan lakonan Nguyen Van Toan yang terjatuh di dalam kotak penalti meskipun tiada sentuhan daripada Brendan Gan, namun Subkhiddin yang juga bekas pengadil FIFA berpandangan sebaliknya.

Menurut Subkhiddin, setelah meneliti insiden itu dari beberapa sudut dan klip video berbeza, keputusan Ryuji Sato adalah tepat kerana memang ada sentuhan dilakukan Brendan Gan.

“Bila tengok gerak perlahan sudah tentu ada jurang, jatuh lambat dan sebagainya. Jadi kalau nak analisis klip itu kita kena lihat dari permainan terbuka atau permainan normal.

“Kalau permainan normal kita lihat memang ada tindakan oleh Brendan. Bila dia tersepak kaki kiri pemain lawan menyebabkan pemain itu hilang tempo atau menjatuhkan dia atau menyebabkan impak.

“Malangnya bila ulang tayang semula kita tidak dapat melihat dengan jelas sebab ia tidak memaparkan sepenuh insiden itu. Cuma bila kita lihat dari permainan terbuka dan ‘zoom’ balik, kita boleh nampak Brendan menyepak.

“Jadi boleh saya katakan penalti itu betul, tiada masalah. Kita boleh katakan ‘careless kicking’ (kecuaian sepakan). Walaupun ia kecuaian, dia tidak kena kad dan keputusan di atas padang kena terima pakai. Pengadil berada pada posisi yang baik, dia bergerak dengan jelas dan yakin untuk memberi penalti.

“Pengadil ini (Sato) mengendalikan banyak perlawanan risiko tinggi. Jadi kalau kita nak mencabar pengalaman dia, itu memang jauh. Jika nak bandingkan dengan apa yang kita ada ini, dia lebih banyak pengalaman.

“Tapi biasalah kesilapan itu mana-mana boleh berlaku, bukan semua orang sempurna. Cuma bagi saya insiden penalti itu betul, tak perlu kita terlalu emosi dan tunjukkan budaya negara kita yang menghormati orang,” kata Subkhiddin.

Kekalahan kepada Vietnam tempoh hari bukan sahaja menutup peluang skuad negara mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia, tetapi terlepas tiket automatik ke Piala Asia 2023.

Kredit foto : Asean Football

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.