Sudah Skor 5 Gol Dalam 7 Perlawanan, Mesin Gol Kelantan Ada Sesuatu Mahu Dibuktikan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Setelah menyerlah dalam saingan Liga Premier 2022 dengan meledak lima gol dalam tujuh perlawanan, Nurshamil Abd Ghani ada sesuatu yang lebih besar mahu dibuktikan.

Penyerang Kelantan FC itu yang memenangi gelaran penjaring gol terbanyak tempatan bagi saingan Liga Premier 2021, kini meletakkan sasaran mahu muncul penjaring terbanyak Liga Premier 2022.

Nurshamil mempunyai keyakinan dia boleh melakukan sesuatu yang lebih baik setelah permulaan yang memberangsangkan musim ini.

“Memang saya letakkan sasaran untuk mendapatkan gelaran penjaring terbanyak keseluruhan selepas berjaya mendapatkannya menerusi kategori tempatan.

“Malah, saya gembira dengan kerjasama pemain import (Kervens Belfort, Nixon Guylherme) yang sentiasa berikan bantuan kepada saya untuk menjaringkan gol.

“Ini sesuatu yang berbeza dengan pasukan lain kerana biasanya pemain tempatan yang selalu kena berikan bantuan kepada pemain import.

“Satu lagi tujuan saya mahu memenangi gelaran ini adalah untuk membuktikan serta menaikkan semula imej penyerang, jika diberi ruang, kami sebenarnya masih mampu menyumbang kepada pasukan,” katanya.

Nurshamil kini hanya ketinggalan satu gol kepada Fernando Rodriguez (JDT II), Martin Adamec ( PDRM FC) dan Njoku Jacob (Kelantan United FC) dengan masing-masing meledak enam jaringan.

Musim lalu, Nurshamil menjaringkan sembilan gol untuk dinobatkan selaku penjaring terbanyak tempatan Liga Premier manakala penjaring terbanyak keseluruhan dimenangi Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II) yang menjaringkan 16 gol.

Dalam pada itu, Nurshamil berkata, dia berpuas hati kerana Kelantan buat masa ini berada di laluan yang tepat bagi mengejar kejuaraan Liga Premier.

Meletakkan JDT II sebagai pencabar utama yang kini menduduki tangga teratas Liga Premier, dia juga melihat Kuching City serta Kelantan United antara dua pasukan yang perlu diberi perhatian.

“Semua perlawanan yang dilalui adalah sukar kepada kami dan kami tidak jangka cukup sengit saingan musim ini.

“Seperti JDT II, kami memang ada menewaskan meereka pada perlawanan pertama tetapi masa itu, mereka belum dilihat belum bersedia dan selepas mendapatkan pemain dari JDT, mereka sangat baik pada masa sekarang.

“Kami juga tewas dengan Kuching City selain Kelantan United yang saya rasa mampu berikan cabaran.

“Jadi, kami kena pandang cabaran dari semua pasukan adalah sama jika mahu sentiasa konsisten dalam kelompok mengejar kejuaraan Liga Premier,” katanya.

Foto kredit: TRW Kelantan FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.