Sudah tiba masanya skuad Projek FAM-MSN tunjukkan belang mereka

Yusri Che Lah
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas mengharungi aksi pusingan pertama Liga Premier yang begitu ‘mengerikan’ apabila hanya mencatat dua seri daripada 11 perlawanan dan menduduki tangga tercorot, sudah tiba masanya untuk skuad Projek FAM-MSN menunjukkan potensi sebenar mereka.

Ketua jurulatih skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah mengharapkan peningkatan daripada anak buahnya dalam baki saingan selepas melakukan persiapan lebih menyeluruh berbanding semasa mereka mula dilkumpulkan pada Februari lalu.

Bekas pemain kebangsaan itu sudah dapat mengesan kemajuan teknikal dan fizikal dalam kalangan pemain justeru tidak mahu lagi melihat anak-anak buahnya gentar berdepan pemain-pemain senior serta import yang mempunyai tahap permainan berbeza.

Dalam masa sama, Yusri Che Lah tidak mahu memberi tekanan kepada pemain-pemain agar mendapatkan kemenangan tetapi sudah cukup gembira jika mereka boleh memperbaiki beberapa kelemahan ketara yang terserlah sebelum ini.

“Selepas lima bulan dikumpulkan sejak Februari lalu, bulan lalu boleh saya katakan seperti pra musim pertama buat pasukan kerana kami hanya sempat bersama beberapa minggu sahaja sebelum liga bermula.

“Selepas Hari Raya Aidilfitri tempoh hari, kami belum hadapi mana-mana perlawanan lagi dan tempoh ini amat baik kepada kami lakukan persiapan yang telah memasuki tempoh sembilan minggu ini.

“Jika dilihat perlawanan-perlawanan dahulu, mereka kerap beri laluan mudah kepada pesaing dalam liga serta lepaskan jaringan berturut-turut dalam tempoh yang singkat selain pada awal serta akhir minit permainan.

“Dengan latihan yang sistematik, saya sudah nampak lebih 50 peratus pemain dalam skuad ini telah pamerkan pemahaman taktikal yang amat ketara dan aspek kecergasan, jadi saya harap perkara ini dapat diterjemahkan kepada saingan liga nanti,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Projek FAM-MSN mencatat beberapa kekalahan besar dan melepaskan sejumlah 38 gol dalam 11 perlawanan menyebabkan mereka dilabel lubuk tiga mata selain penyertaan pasukan itu dalam Liga Premier juga menerima kecaman dari pelbagai pihak.

Situasi itu bagaimanapun diterima dengan hati terbuka oleh Yusri Che Lah kerana baginya, setiap peminat pasti mempunyai persepsi tersendiri dalam memberikan pendapat.

Cuma beliau mengharapkan orang ramai boleh bersikap lebih positif serta memberikan cadangan yang lebih membina dengan melihat masa depan pemain-pemain muda ini masih jauh dalam pentas bola sepak negara.

“Para pemain saya adalah manusia biasa dan ada kalanya mereka juga terkesan dengan kata-kata netizen namun bagi saya, saya faham semua orang ada persepsi tersendiri kepada pemain-pemain skuad projek ini.

“Cuma saya harapkan orang ramai janganlah terus menerus menghukum mereka kerana dibimbangi jika situasi ini berterusan, kita bimbang mereka boleh hilang dari sukan bola sepak untuk melangkah lebih jauh.

“Mereka ini merupakan rangka pertama skuad projek untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi dan seandainya kita sentiasa berikan kata-kata positif yang menjurus kepada persembahan pemain, saya rasa ini akan mewujudkan persekitaran yang baik buat mereka.

“Janganlah semasa mereka bagus nanti, kita baharu hendak bagi sokongan namun semasa di bawah, kita berikan kata-kata yang negatif, sebaliknya cuba kita berikan ayat-ayat positif kepada pemain.

“Pesan saya kepada pemain, anda semua masih muda dan janganlah terlalu kerap membaca mesej-mesej negatif di media sosial kerana kelak ia sekadar menimbulkan kegusaran dalam keperibadian kamu untuk melangkah jauh dan buat masa sekarang, terus berusaha di atas padang sehingga satu hari nanti anda boleh buktikan kepada semua,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.