Sudahlah kena kencing, Perak FC disaman pula hampir setengah juta!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru sahaja arena bolasepak Perak mahu kembali bernafas dan melaksanakan pelan reformasi selepas melalui fasa yang cukup sukar, nampaknya malang menimpa mereka sekali lagi.

Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) diarahkan oleh FIFA untuk membayar hampir RM500,000 kepada pemain dari Korea Selatan, Jeon Hye Seok, yang pernah menyertai pemilihan (trial) pasukan itu pada Disember 2019.

Perak FC yang ketika itu dibimbing Mehmet Durakovic sedang mencari pengganti kepada Hussein El Dor difahamkan telah menawarkan kontrak kepada pemain itu namun kemudian tidak jadi mengambilnya kerana pemain berusia 23 tahun itu menanggung kecederaan.

Sebagai ganti, Perak FC membawa masuk bekas pemain skuad B-23 Australia, Anthony Golec sebagai pertahanan baru untuk digandingkan bersama Shahrul Saad.

Disebabkan itu, Hye Seok yang pernah bermain untuk Asan Mugunghwa FC membawa kes kepada FIFA dan PAFA mengesahkan telah menerima surat saman dari badan induk bolasepak dunia itu pada 18 Jun lalu.

Bagaimanapun terdapat cerita lain di sebalik tuntutan dikemukakan pemain itu, di mana sumber Perak FC menafikan ada menandatangani kontrak dengan pemain itu sebaliknya mendakwa dia menggunakan salinan kontrak yang diberikan kepadanya sebagai rujukan untuk membuat tuntutan.

“Dia cuba menipu PAFA dengan menyembunyikan kecederaan. Masa datang, dia dah cedera, sebab itu dia berdalih dan memberi pelbagai alasan setiap kali disuruh berlatih.

“Apabila PAFA membuat pemeriksaan kesihatan rapi melalui pakar dia sebenarnya membawa kecederaan lama, justeru PAFA tidak tanda tangan sebarang kontrak dengannya.

“Sebaliknya pemain itu sendiri menandatangani salinan kontrak yang diberikan untuk rujukan dan kemudian menggunakannya untuk membuat tuntutan itu. Ia bukan kontrak yang telah ditandatangani kedua-dua belah pihak.

“Dia tidak pernah bermain untuk Perak atau Perak II. Memang nampak sangat, dia hanya cuba mengambil kesempatan,” menurut sumber tersebut.

Katanya lagi, kes itu sepatutnya didengari di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland selepas PAFA turut mengemukakan hujah melalui affidavit tetapi kes tidak dapat dibicarakan gara-gara penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.