Belum ada keputusan dibuat oleh Sri Pahang FC mengenai kedudukan ketua jurulatih Dollah Salleh bersama pasukan itu pada musim baru nanti.
Pengurus pasukan, Datuk Suffian Awang memberitahu perbincangan masih lagi berjalan di antara pihak pengurusan dan pengendali berusia 57 tahun itu dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.
“Jika saya keluarkan kenyataan tak nak guna dah khidmat Dollah Salleh dan mahu cari jurulatih baru, tetapi kepimpinan Pahang selepas ini mahu mengekalkan beliau, ia akan jadi tidak elok. Tidak elok untuk Dollah dan pasukan ini.
“Kami mengambil risiko dan cabaran yang akan dihadapi pada ketika pandemik COVID-19 ini masih belum ada noktahnya. Jika anda tanya saya mengenai jurulatih, saya tidak boleh memberikan sebarang pengesahan.
“Tetapi secara realistiknya, adakah Liga Malaysia ini sudah sah akan diadakan dengan statistik (kes positif) yang mendadak ketika ini,” kata Suffian dipetik dari Stadium Astro.
Sebagai rekod, Dollah Salleh membimbing Pahang buat kali kedua bermula 2017 dan membawa mereka menjulang Piala FA 2018 dengan menewaskan Selangor.
Pada musim lalu dia memastikan Pahang muncul naib juara Liga Super, serta mara ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia, sekaligus menyaksikannya memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik Liga Malaysia 2019.
Bekas jurulatih kebangsaan itu bagaimanapun mengharungi musim 2020 yang suram apabila Pahang sekadar menamatkan saingan liga di tangga kelapan.
Dollah Salleh sebelum ini menyatakan dia menyerahkan kepada pengurusan untuk memutuskan nasibnya dan sedia menerima apa sahaja keputusan yang dibuat.
Antara pencapaian terbaik Dollah yang lain adalah membimbing pasukan MPPJ Selangor muncul pasukan kelab pertama menjuarai Piala Malaysia pada 2003, menjulang treble bersama Selangor pada 2005, dan muncul naib juara Piala AFF Suzuki pada 2016.