Suhaimi Husin Sedia Pertimbang Jika Ada Tawaran Daripada JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Prestasi cemerlang ditunjukkan penjaga gol, Suhaimi Husin di gawang Terengganu FC tidak dinafikan berjaya mencuri perhatian banyak pihak.

Walaupun dia pada mulanya hanya masuk sebagai penjaga gol sandaran setelah Rahadiazli Rahalim mengalami kecederaan, Suhaimi berjaya memenangi hati penyokong sang penyu menerusi ketangkasannya di gawang dan kini merupakan penjaga gol utama pasukan itu.

Kecemerlangannya membawa Terengganu FC menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat dan mara sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2021.

Maka tidak hairanlah beberapa pasukan Liga Super berlumba-lumba mahu mendapatkan khidmatnya bagi saingan musim depan. Malah beberapa portal bolasepak tempatan sebelum ini ada mengatakan bahawa pemain itu turut berada dalam radar Johor Darul Takzim.

Baca : Tunku Ismail Kagum Dengan Prestasi Suhaimi Husin

Untuk dikaitkan dengan sebuah pasukan besar seperti JDT, sudah tentunya mengujakan mana-mana pemain, dan Suhaimi Husin tidak terkecuali.

Malah walaupun sudah menyambung kontrak bersama pasukan Terengganu FC bagi musim baru, penjaga gol berusia 27 tahun itu menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan jika ada tawaran dari pasukan harimau selatan itu.

“Setakat ini saya tidak dihubungi mana-mana pihak daripada pasukan JDT, lagipun saya sudah menandatangani kontrak bersama TFC.

“Tapi jika ada tawaran rasmi daripada pasukan Harimau Selatan itu, saya sedia mempertimbangkan lamaran itu kerana bukan mudah untuk beraksi bersama skuad gergasi Liga M itu.

“Tapi jika tidak ada, fokus saya sudah pasti untuk membantu TFC memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia selain Piala FA serta mengintai peluang beraksi dalam saingan Piala AFC 2023,” katanya kepada Arena Metro.

Ketika ini, posisi penjaga gol nombor satu JDT digenggam erat oleh Farizal Marlias, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Liga Malaysia di Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan Virtual 2021.

Di belakang Farizal Marlias adalah Izham Tarmizi dan juga Haziq Nadzli.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.