Saturday, July 24, 2021
HomeBola Sepak"Kalau menang emas, orang dah tak kisah kalau tiada perak atau gangsa"

“Kalau menang emas, orang dah tak kisah kalau tiada perak atau gangsa”

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan kontijen negara ke Sukan Olimpik 2020 tidak boleh pergi ke Tokyo sekadar untuk bertanding dan melakukan yang terbaik, sebaliknya perlu ada satu sasaran yang berani diletakkan.

Meskipun mengakui bukan mudah untuk memuktamadkan sasaran pingat di temasya sukan terbesar dunia itu, Zolkples sebolehnya mahu Kementerian Belia dan Sukan mensasarkan untuk membawa pulang pingat emas apatah lagi menyedari sukar untuk mengulangi pencapaian empat pingat perak di Rio De Janeiro 2016.

“Kalau diikutkan, selalunya peminat sukan mahu melihat kita dapat memperbaiki pencapaian terdahulu tetapi mustahil untuk meraih empat perak (seperti di Rio 2016).

“Salah satu cara yang boleh mengubati atau memenuhi harapan peminat sukan, kena menang pingat emas. Sasaran pingat emas ini bukanlah sesuatu yang baharu, sudah berapa edisi Olimpik kita mengharapkan emas pertama negara tetapi tak boleh dicapai.

“Jadi kalau menang emas, semua orang akan lupa berapa banyak duit yang sudah dibelanjakan, seperti (pelaburan) basikal Azizulhasni (Awang) yang menelan RM13 juta (termasuk untuk dua atlet lain, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis).

“Apapun, perlu berhati-hati kerana kita sudah mengeluarkan dana yang banyak, jadi kena ada sasaran. Tak boleh lagi nak kata untuk menyertai saja, zaman moden ini sukan kena ada sasaran kerana ia membelanjakan duit rakyat.

“Jadi, bagi saya jangan ambil sasaran selamat di saat kita sudah sentiasa menunjukkan peningkatan. Daripada tiada pingat, kita meraihnya menerusi sukan badminton.

“Di London 2012, Pandelela (Rinong Pamg) menambah pingat gangsa dan di Rio kita tambah lagi pingat menerusi berbasikal. Di sini, kita nampak sudah banyak jenis sukan dan bilangan pingat dan tentunya kita nak tengok peningkatan.

“Namun, adalah lebih baik sekiranya kita sasarkan pingat emas di Sukan Olimpik 2020 kerana kita sudah pernah meraih perak dan gangsa. Kalau capai emas, tak perlu lagi memikirkan pungutan pingat yang lain,” kata Zolkples Embong.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan mengumumkan sasaran pingat kontijen negara di Sukan Olimpik 2020 pada Isnin ini (19 Julai).

Reezal Merican sebelum ini memberitahu sasaran yang bakal diletakkan amat sederhana mengambil kira situasi pandemik Covid-19 dengan banyak kejohanan dibatalkan dan pelbagai kekangan lain, dalam masa sama meminta supaya peminat sukan tanah air tidak terlalu mengharapkan ‘bulan dan bintang’.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.