Sukan SEA : Azri Ghani Minta Pemain Tengah Lebih Banyak Membantu Pertahanan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tidak banyak yang diminta oleh penjaga gol skuad B-23 kebangsaan, Azri Ghani terhadap rakan sepasukannya tatkala mereka bersedia menghadapi aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Kemboja pada Isnin.

Pemain KL City itu meminta supaya komunikasi antara pemain tengah dan pertahanan dapat diperbaiki memandangkan kepincangan pertahanan antara yang cukup terserlah dan menjadi kritikan ramai ketika seri 2-2 menentang Singapura tempoh hari.

Malaysia melepaskan dua gol setelah mendahului 1-0 yang sekaligus menyaksikan skuad negara telahpun bolos empat kali dalam tiga perlawanan, belum mencatat sebarang clean-sheet walaupun tiket ke separuh akhir sudahpun dalam genggaman.

“Bagi saya pasukan kita bermain bagus cuma apabila bertahan kita ada sedikit masalah komunikasi barisan tengah dengan pertahanan. Kalau boleh pemain tengah kena lebih banyak membantu pertahanan, itu saja saya nampak masalah daripada sudut pandangan daripada bawah (sebagai penjaga gol),” ujar Azri Ghani seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Pemain berasal dari Kelantan itu juga menegaskan bahawa dia dan rakan sepasukan tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan Malaysia sekarang selaku pendahulu Kumpulan B, dan mengambil serius setiap perlawanan bagi memastikan mereka dapat mengakhiri cabaran kumpulan selaku juara.

“Seperti jurulatih cakap, kami sentiasa memberi fokus satu perlawanan ke satu perlawanan. Jadi semua perlawanan adalah penting dan tidak timbul rasa selesa atau sebagainya. Kita mahu mengelak Vietnam di separuh akhir dan sebolehnya biarlah jumpa mereka di final.

“Kita harus memperbaiki secepat mungkin kelemahan yang ada jika mahu melangkah lebih jauh dan buat saya, saya yakin dan percaya semua pemain tidak rela pulang ke Malaysia dengan tangan kosong,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin turut memberikan sedikit nasihat dan kata-kata semangat kepada skuad muda negara menjelang aksi menentang Kemboja.

“Mentaliti sang juara perlu sentiasa bersedia. Tidak kira siapa lawan kita nanti, kita harus tunjukkan karakter sebenar Malaysia di mana kita tidak pernah takut untuk bertemu dengan mana-mana pasukan.

“Lupakan segera momen ketika menentang Singapura, tutup dan buka buku baharu. Paling mustahak pemain-pemain harus bangkit kembali dengan menunjukkan mentaliti pemenang sejati,” kata Datuk Hamidin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.