Sukar Atur Perlawanan, Skuad B-23 Teruskan Persiapan Di Wisma FAM Sahaja

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad B-23 tahun kebangsaan nampaknya akur terpaksa meneruskan latihan dan persiapan untuk mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Wisma FAM.

Brad Maloney sebelum ini merancang membawa pasukannya itu ke Dubai untuk bermain beberapa perlawanan persahabatan di sana sebelum terbang ke Mongolia bagi bermain di pusingan kelayakan dari 27 – 31 Oktober, namun ia tidak kesampaian.

Semuanya kerana kesukaran mengatur perlawanan dek peraturan ketat tempoh kuarantin justeru Brad Maloney merubah perancangan meneruskan fasa akhir persiapan dengan bermain perlawanan persahabatan bersama pasukan Liga Malaysia sahaja.

“Kita terpaksa teruskan sahaja dengan apa yang ada, memang mengecewakan kerana perancangan terganggu tetapi kita tidak boleh merungut dan perlu jalan terus untuk mempersiapkan pasukan sebaiknya bagi berdepan misi di Mongolia.

“Memandangkan liga juga sedang berehat, memang kami rasa ini pilihan terbaik yang ada. Kita merancang bermain tiga perlawanan persahabatan menentang Penang, Kedah dan satu lagi pasukan yang belum dimuktamadkan,” ujar Brad Maloney.

Sumber : Maloney’s Mongolian Plan Mangled

25 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat telah memulakan latihan fasa kedua pada Isnin lalu, manakala empat lagi pemain iaitu Mukhairi Ajmal, Hakimi Abdullah, Luqman Hakim Shamsudin dan Quentin Cheng akan menyertai pasukan selepas tamat tugasan bersama pasukan senior.

Malah, Maloney juga merancang memanggil lima atau enam lagi pemain muda yang menyerlah di Liga Malaysia untuk dinilai dan diuji sebelum memuktamadkan senarai akhir 23 pemain.

“Kita pantau pemain-pemain ini sepanjang Liga Malaysia dan semua menunjukkan perkembangan yang cukup baik, ada pemain yang telah diserap dari skuad pembangunan ke skuad utama, dan menjaringkan gol.

“Kita juga ada 4 pemain bersama Harimau Malaya, jadi ini adalah satu petanda positif bagi skuad B-23. Mereka ada peluang untuk terus meningkat dan akan menyertai kita dengan lebih pengalaman.”

Dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-23 nanti, Malaysia akan bertemu Laos pada 25 Oktober, disusuli Mongolia pada 28 Oktober dan Thailand pada 31 Oktober.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.