“Sukar dipercayai, pengadil ini tak layak berada di Liga Super”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Uitm FC hanya beberapa saat sahaja dipisahkan daripada melakar kemenangan pertama mereka dalam saingan Liga Super musim ini.

Skuad bimbingan Frank Bernhardt itu mendahului KL City FC 1-0 lima minit sebelum tamat permainan, tetapi ketika mereka sudah bersedia meraikan kemenangan, dikecewakan pula oleh gol penyamaan pada masa kecederaan oleh Shukor Adan.

Yang lebih mengecewakan Frank Bernhardt, gol penyamaan yang memahat nama Shukor Adan sebagai penjaring gol tertua Liga Malaysia itu dihasilkan menerusi tangan, menyebabkan pengendali dari Jerman itu tertanya-tanya bagaimana pengadil (Mohd Shahrizan Solihim) boleh mengesahkan gol itu.

“Buat kali pertama, pemain beraksi baik dalam keseluruhan perlawanan, saya boleh katakan dengan tegas ini bukan kami tidak bernasib baik, tapi keputusan yang tidak adil kerana gol dijaringkan menggunakan tangan, kita ada bukti video dan gambar.

“Bagi saya pengadil ini tidak layak untuk berada di dalam Liga Super. Kami sudah begitu hampir, hanya berdepan satu situasi set piece terakhir, dan mengejutkan tiada apa yang berlaku walaupun jelas pemain lawan guna tangan. Ia disahkan dan merugikan kami dua mata yang sangat diperlukan.

“Seri adalah seri, kami tidak boleh mengubah keputusan perlawanan tapi saya nak cakap tak pernah tengok pengadilan sebegini. Saya pernah berada lama di Eropah, tak pernah tengok situasi seperti ini, pengadil tak nampak bola kena tangan depan mata.

“Saya tak patut mengatakannya tapi apa yang berlaku tidak dapat dipercayai,” kata Frank Bernhardt selepas perlawanan.

Sebagai rekod, Bernhardt sebelum ini pernah direhatkan dalam tiga perlawanan oleh pihak pengurusan dan tempatnya digantikan sementara oleh Reduan Abdullah namun tiada peningkatan ditunjukkan.

Keputusan seri ini hanyalah yang kedua buat skuad the lion troops musim ini, menyaksikan mereka kekal menghuni tangga tercorot dengan hanya dua mata.

Mereka telah membuat beberapa rombakan pada pasukan dengan menukar pemain import namun perlu diakui ia semakin sukar untuk Uitm FC kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.

Biasanya minimum 21 mata diperlukan untuk kekal namun dengan baki 9 perlawanan, mustahil untuk Uitm FC mencari mata sebanyak itu.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.