Sulaiman : Jangan ‘bunuh’ jurulatih lain untuk naik, karma itu pasti

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin memberi nasihat terbuka kepada jurulatih-jurulatih yang baru mahu membina karier, agar mengikut jalan yang betul menuju ke destinasi dan tidak mengambil jalan pintas untuk berjaya.

Sulaiman menjadikan beberapa jurulatih berprofil tinggi seperti Dollah Salleh, B.Sathianathan, Irfan Bakti Abu Salim dan K.Devan sebagai contoh jurulatih yang dapat bertahan lama dalam arena kejurulatihan kerana mereka tidak pernah ada niat buruk mahu membina reputasi dengan menjatuhkan orang lain.

“Tiada masa mereka nak fikir hal pasukan lain, hal jurulatih lain. Kalau tanya mereka jawapan mereka mudah sahaja ‘lantaklah bukan masalah aku’.

“Tapi hari ini banyak yang berlaku di luar sana kita lebih sibuk nak tahu progress (perkembangan) orang lain berbanding sibuk dengan progress kita sendiri sebagai jurulatih.

“Kutuk sana sini, bila pasukan kawan kalah kita syok, sibuk jaja buruk orang dari melihat buruk kita sendiri dalam bidang kejurulatihan.

“Muhasabahlah, kepada yang baru nak mula tanya diri apa matlamat jadi jurulatih. Nak jadi kaya nak popular tak salah tapi usaha itu mesti setimpal dengan khayalan. Jangan ada niat nak ‘bunuh’ jurulatih lain supaya kita boleh naik.

“Sekali kita buat percayalah lepas ni orang buat kat kita, tak lama karma itu,” ujarnya.

Menurut Sulaiman Hussin yang juga pemilik pasukan UKM FC, apa yang diungkapkan adalah melalui pengalaman yang telah ditempuhinya sepanjang bergelar jurulatih dan menegaskan impian akan menjadi kenyataan andai berusaha, bertawakal serta bekerja dengan ikhlas dan jujur.

“Jangan ada istilah putus asa jika pernah dikhianati. Kerana bidang kejurulatihan adalah bidang buruan ramai orang, kau gagal orang lain masuk.

“Sentiasa diintai tempat kau itu, jaga dan semai elok-elok, inshaallah usaha tangga kejayaan,” kata Sulaiman.

Sebagai rekod, Sulaiman Hussin adalah antara jurulatih muda yang semakin menempa nama dalam arena bolasepak tempatan, telah membimbing UKM FC sejak pasukan itu beraksi di Liga IPT sehinggalah layak beraksi di Piala FAM kemudiannya Liga Premier.

Dia diketahui sebagai seorang yang banyak mengetengahkan bakat-bakat muda.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.