Sultan Kelantan kembalikan emolumen diraja demi ringankan beban rakyat

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengembalikan Emolumen Diraja selama enam bulan bermula April ini kepada Perbendaharaan Negeri.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Shafirman Nik Hassan dalam satu kenyataan berkata :

“Baginda berharap emolumen Diraja yang dikembalikan itu dapat diuruskan sewajarnya oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan supaya dapat membantu meringankan beban rakyat yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan.

“Sultan Muhammad V turut berharap rakyat dapat bersabar dan melihat PKP dalam konteks positif iaitu meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga, bermuhasabah dan beribadat.

“Baginda sempat berpesan supaya rakyat sentiasa bertimbang rasa dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Nik Shafirman, Sultan Kelantan turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada seluruh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan barisan hadapan negara kerana memberikan khidmat terbaik kepada negara.

Katanya, baginda turut mengajak rakyat untuk berdoa ke hadrat ALLAH SWT supaya penularan Covid-19 ini dapat dikekang dan barisan hadapan yang sedang berjuang menyelamatkan pesakit sentiasa diberikan ketabahan serta kekuatan dalam melaksanakan tugas mereka.

Sumbangan dari Sultan Kelantan Sultan Kelantan kembalikan emolumen diraja demi ringankan beban rakyat

“Untuk makluman, Tuanku turut menghulurkan sumbangan alatan perubatan kepada hospital yang merawat pesakit Covid-19 di Kelantan.

“Antara peralatan berkenaan ialah peralatan perlindungan diri, 3M Goggles, pelindung muka, termometer dan peralatan kecil unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Sebagai rekod, pada 31 Mac lalu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah membuat keputusan mengembalikan semula bayaran emolumen diraja mulai Mac hingga Ogos depan.

Langkah itu kemudiannya dituruti Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang berkenan mengembalikan emolumen diraja untuk disumbangkan ke Tabung Bencana Negeri Pahang.

Foto : Sinar Harian

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.