Sumareh dijangka sertai ke JDT selepas tamat kontrak dengan Police Tero

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dijangka akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2021.

Pemain sayap berasal dari Gambia itu ketika ini beraksi dengan kelab Thailand, Police Tero FC dengan kontrak jangka pendek selama 6 bulan selepas meninggalkan Pahang pada September lalu.

Pemain itu sendiri pernah mengatakan dia akan kembali untuk bermain di Liga Malaysia selepas kontraknya tamat namun belum pasti pasukan mana yang akan disertai. Pada awalnya dia dikaitkan dengan Selangor tetapi pasukan itu telah pun mengesahkan dia tiada dalam perancangan.

Kedah baru-baru ini juga dilaporkan cuba merisik pemain itu tetapi sekadar cerita kedai kopi.

Bagaimanapun pengumuman oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Isnin bahawa dua pemain naturalisasi adalah antara pemain baru yang akan menyertai pasukan itu, mengesahkan bahawa Iskandar Puteri adalah halatuju seterusnya Sumareh.

Apatah lagi, Malaysia tidak mempunyai ramai pemain naturalisasi, atau pemain yang boleh dinaturalisasikan.

Hanya Sumareh dan Liridon Krasniqi merupakan dua pemain naturalisasi negara ketika ini, dan Liridon sudahpun bersama pasukan selatan tanah air itu sejak awal tahun ini.

Identiti seorang lagi pemain naturalisasi masih kekal misteri tetapi apa yang pasti pemain itu adalah pemain yang sudah sedia bermain di Liga Malaysia kerana untuk mendapat status naturalisasi, pemain itu perlu bermain sekurang-kurangnya lima tahun di negara ini. Jadi tidak mungkin pemain itu pemain baru dari luar negara.

Justeru, berkemungkinan besar pemain itu termasuk dalam kategori pemain yang berpotensi dinaturalisasikan dalam tempoh setahun atau dua.

Melihat kepada pilihan yang ada, Lee Tuck, tetapi pemain itu sudahpun sah akan menyertai Pahang pada musim depan, kalaupun dia free agent, adalah diketahui pemain berusia veteran bukan pilihan JDT untuk ditandatangani. Begitu juga kisahnya dengan Guilherme de Paula, dia akan berusia 35 tahun dan sudah tentunya bukan selera JDT.

Pemain lain yang ada potensi untuk dinaturalisasikan dan masih dalam usia muda termasuklah Endrick Dos Santos Parafita (Pulau Pinang), Romel Morales (Melaka) – kedua-duanya telah bermain di Liga Malaysia sejak 2018.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.