Sumareh geli hati, ini kali pertama dia dengar hukuman seperti ini

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh tidak dapat menyembunyikan rasa geli hati dengan keputusan penggantungan dua tahun daripada terlibat dalam aktiviti bolasepak yang dikenakan Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) ke atasnya.

Jawatankuasa Tatatertib PBNP pada Selasa lalu menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati dia bersalah di atas empat pertuduhan yang dikenakan.

Menurut Sumareh yang ketika ini bermain dengan Police Tero FC di Liga Thailand, ini kali pertama dia mendengar hukuman seperti ini dikenakan ke atas pemain profesional.

“Bagaimana PBNP boleh menggantung pemain yang membatalkan kontrak dengan mereka. Ini satu perkara yang kelakar.

“Saya sendiri pun tidak faham dengan keputusan ini. Hanya Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) ataupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang boleh menggantung saya mengikut undang-undang bola sepak.

“Saya tidak pernah melihat pasukan mengenakan penggantungan kepada pemain mereka. Ini kali pertama saya menyaksikan perkara sebegini,” katanya dilaporkan BH Sukan.

Pemain naturalisasi Harimau Malaya yang berasal dari Gambia itu mencetus kontroversi hangat dalam arena bolasepak tempatan apabila hilang dari kem latihan Pahang sejak 3 Ogos 2020 tanpa sebarang pemakluman dan kemudian membuat keputusan membatalkan kontrak secara sebelah pihak dengan PBNP, dipercayai kerana masalah tunggakan gaji.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan melabel Sumareh sebagai pemain tidak mengenang budi dan tidak profesional.

Baca : Pendedahan Tengku Muda bukti Sumareh lari bukan kerana isu tunggakan gaji

Sementara itu, Sumareh mengakui bahawa dia ada menerima notis daripada PBNP untuk hadir membela diri dan menjawab pertuduhan yang dikenakan ke atasnya tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana berada di Thailand.

“Saya memberikannya kepada peguam dan meminta mereka berhubung dengan peguam saya. PBNP tahu saya berada di Thailand tetapi meminta saya hadir untuk mengadakan pertemuan. Bagaimana saya mahu hadir kerana saya sudah berada di sini. Mengapa mereka nak berbincang dengan saya kerana apa sahaja urusan, mereka perlu berhubung dengan peguam saya,” kata Sumareh yang menyertai Pahang bermula 2017.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.