Sumareh : “Jika UAE bertambah kuat, Harimau Malaya juga sama”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Malaysia akan turun menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) tengah malam ini di Dubai.

Pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh mengakui UAE sedang berada pada tahap terbaik mereka bagi mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malah dijangka tampil lebih gah berbanding dua tahun lalu.

Ini menurutnya boleh dilihat menerusi kemenangan besar dilakar pasukan kendalian Bert Van Marwijk itu dalam beberapa aksi persahabatan menewaskan India 6-0 pada Mac dan kemudiannya melakar kemenangan 5-1 ke atas Jordan bulan lalu.

Tetapi bintang Johor Darul Takzim itu tidak menganggap ia alasan untuk Harimau Malaya merendah diri, kerana skuad negara turut mengalami revolusi dengan diperkuatkan tambahan dua pemain naturalisasi, pemain berdarah kacukan serta pemain berpengkalan di luar negara.

“UAE sudah semakin kuat berbanding pada perlawanan sebelum ini namun kita juga tidak kurang hebat apabiala mempunyai pemain yang bagus. Kedua-dua pasukan telah memperkuatkan pasukan masing-masing, ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik.

“Jadi, tentunya ia tidak akan menjadi satu perlawanan yang mudah, kerana kita akan bermain di tempat mereka, cuaca dan kini penonton dibenarkan masuk stadium, ia bukan suatu yang mudah, tetapi kita sepatutnya boleh dapat keputusan yang baik.

“Sekarang ini terpulang kepada pemain untuk beraksi cemerlang di atas padang,” kata Sumareh pada sidang media secara online bersama wartawan di Malaysia.

Ketika kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 2019, Malaysia memberi tentangan hebat malah berjaya mendahului seawal minit pertama menerusi Syafiq Ahmad sebelum tunduk 1-2.

Ia adalah satu daripada dua kemenangan dilakar UAE dalam Kumpulan G, satu lagi kemenangan mereka adalah ke atas Indonesia, manakala dua lagi perlawanan menentang Vietnam dan Thailand menyaksikan mereka kecundang.

Sementara itu, bercakap mengenai prestasinya yang kurang menyengat ketika pertemuan dengan Kuwait dan Bahrain, Sumareh mengakui dia bergelut namun yakin akan dapat kembali kepada prestasi terbaiknya.

“Saya akui sedikit bergelut mungkin kerana pada awal tahun ini kurang beraksi bersama pasukan namun kelab (JDT) banyak membantu mempertingkatkan lagi prestasi sekali gus masih lagi diberikan kepercayaan bermain untuk skuad Harimau Malaya,” katanya lagi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.