Sumareh menang tuntutan, FIFA arah Pahang bayar pemain naturalisasi itu RM4.9 juta

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh beroleh kemenangan dalam kes FIFA yang difailkannya ke atas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pada tahun lalu, berhubung isu tunggakan gaji.

Menurut laporan NST Sports, PBNP telah diarahkan FIFA untuk membayar pemain naturalisasi Harimau Malaya itu sebanyak US$1.2 juta (RM4.9 juta) dan persatuan itu mempunyai pilihan sama ada mahu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) bagi mencabar keputusan itu, atau menyelesaikan tuntutan sepertimana diarahkan dalam tempoh 45 hari.

Kegagalan untuk melunaskan bayaran itu akan menyaksikan pasukan Sri Pahang FC dikenakan sekatan perpindahan atau pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super.

Berdasarkan kontrak, Sumareh difahamkan sepatutnya menerima peningkatan gaji US$5,000 (RM20,362) setahun selepas tahun keduanya bersama Pahang iaitu bermula 2019.

Bagaimanapun dia mendedahkan bukan sahaja tidak menerima peningkatan gaji malah turut berlaku tunggakan gaji yang membawa kepada episod dia membatalkan kontraknya secara sebelah pihak dengan pasukan itu.

Justeru, jumlah RM4.9 juta yang diputuskan oleh FIFA itu merupakan jumlah keseluruhan tunggakan gaji, peningkatan tahunan yang sepatutnya diterima Sumareh selain  pampasan pelanggaran kontrak bagi tahun 2020 dan 2021.

Ini menjadikan RM4.9 juta yang perlu dibayar kepada Mohamadou Sumareh itu merupakan jumlah tertinggi perlu dibayar sebuah pasukan Liga Malaysia kepada pemain yang memenangi tuntutan FIFA. Jumlah tertinggi sebelum ini adalah RM629,620.28  yang diarahkan FIFA untuk dibayar kepada bekas pemain Kelantan Cassio Fransisco de Jesus.

Apa yang peliknya, sebelum ini PBNP menerusi Presiden mereka, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menafikan tiada sebarang isu tunggakan sepertimana didakwa pemain itu malah semua pembayaran telahpun dijelaskan kepadanya pada bulan Ogos 2020.

Baca: Pendedahan Tengku Muda bukti gaji bukan Sumareh lari

Beliau mengakui memang ada berlaku kelewatan di dalam pembayaran gaji, tetapi menegaskan bahawa semua pemain termasuk Sumareh menerima gaji mereka setiap bulan.

Malah beliau kecewa kerana pemain itu memungkiri janji untuk kembali menyertai kem latihan tetapi memungkiri janji dan hilang tanpa khabar berita, lantas melabel pemain itu tidak professional.

Sebaik membatalkan kontrak bersama Pahang dengan mengaktifkan klausa 8.7, Mohamadou Sumareh kemudiannya menyertai Police Tero FC di Liga Thailand untuk jangka pendek dan dia telahpun kembali ke Malaysia pada bulan lalu.

Pemain kelahiran Gambia itu dijangka diumumkan sebagai pemain baru Johor Darul Takzim dalam tempoh terdekat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.