Sumareh sah senjata baru taruhan JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persoalan mengenai halatuju karier pemain naturalisasi Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh akhirnya ternoktah apabila dia diumumkan sebagai pemain baru Johor Darul Takzim (JDT).

Sumareh adalah pemain baru kedua diumumkan JDT minggu ini, sehari selepas mereka mengumumkan kemasukan penyerang dari Argentina, Jonathan Herrera untul menggantikan Diogo Luis Santo.

Februari ternyata menjadi bulan bertuah buat Sumareh kerana baru beberapa hari lalu dia menang kes tuntutan tunggakan gaji yang difailkan ke atas bekas majikannya Persatuan Bolasepak Negeri Pahang di mana mereka diarahkan membayarnya RM4.9juta, dan kini dia sah menjadi sebahagian daripada kelab paling berjaya dalam Liga Malaysia.

Baca : Pendedahan Tengku Muda bukti tunggakan gaji bukan punca Sumareh lari

Baca : Sumareh menang tuntutan, FIFA arah Pahang bayar pemain naturalisasi itu RM4.9 juta

Kemasukan Sumareh sememangnya sudah dijangka dari awal oleh peminat bolasepak tempatan, sejak dia meninggalkan Pahang pada bulan September tahun lalu dengan mengaktifkan klausa 8.7 dalam kontraknya.

Walaupun ketika itu dia dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk Selangor sebelum membuat keputusan menyertai Police Tero FC di Liga Thailand untuk jangka pendek, ramai percaya JDT adalah destinasi seterusnya pemain berusia 26 tahun ini dan hari ini ia jelas terbukti.

Pemain kelahiran Gambia ini adalah pemain baru keempat diumumkan secara rasmi skuad Harimau Selatan bagi musim 2021 selepas Daniel Amier Norhisham, Syahrian Abhimanyu dan Jonathan Herrera selain mereka turut membawa pulang Safawi Rasid yang dipinjamkan ke SC Portimonense pada Oktober lalu.

Bagaimanapun Syahrian Abhimanyu bersama-sama Liridon Krasniqi dilepaskan secara pinjaman ke kelab A-League, Newcastle Jets.

Mereka dijangka mengumumkan seorang lagi pemain pada Rabu.

Bagi musim 2021, selain pentas domestik JDT akan bersaing buat musim ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Asia.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.