Sumareh sudah tiada dalam perancangan Selangor

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Selangor mengesahkan mereka sudah tidak berminat dengan kelibat pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

“Bukan kita mahu katakan yang Sumareh tidak bagus, dia pemain yang baik dan bertaraf kebangsaan. Tetapi dia tiada dalam perancangan kita untuk musim depan. Kita fikir mungkin lebih baik kalau kita mencari pemain lain yang memiliki kualiti sama atau lebih baik berbanding Sumareh,” kata Timbalan Presiden FAS, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Pada bulan September lalu, FAS menerusi Setiausaha Agungnya Dr Johan Kamal Hamidon mengakui telah membuat tawaran kontrak selama dua tahun dengan gaji bulanan melebihi RM70,000 kepada pemain berasal dari Gambia itu.

Baca : Ia bukan rundingan pintu belakang, FAS sudah dapat kebenaran FAM

Baca : TMJ dedah Selangor tawar kontrak RM70,000 kepada Sumareh

Malahan, Pengarah Teknikal pasukan, Michael Feichtenbeiner juga telah berunding sendiri dengan pemain itu dengan menyatakan dia akan cukup gembira sekiranya Sumareh menyertai Red Giants kerana dia adalah pemain yang cukup sempurna untuk Selangor dan berjanji mengangkat namanya sebagai salah seorang pemain terbaik dalam negara.

Sumareh bagaimanapun dikatakan tidak memberi jawapan kepada tawaran Selangor ketika itu sebaliknya membuat keputusan untuk menyertai kelab Thailand, Police Tero FC secara kontrak jangka pendek selama enam bulan.

Dia sendiri mendedahkan akan pulang semula untuk bermain di Liga Malaysia selepas berakhir kontrak di Police Tero tetapi belum pasti pasukan mana akan diwakili.

Sumareh sebelum itu mencetus kontroversi apabila membuat keputusan meninggalkan Pahang menerusi pembatalan kontrak secara sebelah pihak, dipercayai berpunca daripada masalah tunggakan gaji.

Dia baru-baru ini telah dikenakan hukuman tatatertib oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang di mana dia digantung selama dua tahun daripada terbabit dalam mana-mana aktiviti bolasepak di bawah kelolaan PBNP tetapi belum ada sebarang bentuk hukuman diputuskan oleh AFC mahupun FIFA.

Sebagai rekod, Sumareh yang memulakan karier di Malaysia sebagai pemain import beroleh kewarganegaraan Malaysia pada Oktober 2018 membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya seterusnya didaftar sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia oleh Pahang.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.