Sumareh tak boleh bawa kes ke FIFA kerana dia pemain tempatan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Peranan FIFA sudah selesai selepas mereka mengeluarkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) sementara kepada Mohamadou Sumareh.

Mengenai status pemain naturalisasi itu yang menyertai kelab Thailand Police Tero FC dengan membatalkan kontrak bersama Pahang, ia akan ditentukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Demikian menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Dato’ Windsor Paul John dalam satu temubual ekslusif bersama Nadi Arena.

“Kalau kita lihat kes ini dengan teliti, terdapat dua bahagian, yang pertama adalah isu ITC itu sendiri, ITC itu saya rasa diberikan dengan betul kerana ia termaktub dalam peraturan status ITC, satu cara pemberian ITC jika tidak ada persetujuan di antara kelab lama dan kelab baru.

“FIFA akan memberikan ITC sementara supaya pemain dapat bermain. Itu adalah prinsip ITC, pemain tidak boleh diberhentikan daripada bermain.

“Yang kedua adalah status pemain. Status ini berkait dengan kontrak. Pemain itu milik siapa buat masa ini? Adakah masih milik Pahang atau sudah menjadi milik kelab baru?

“Oleh kerana Sumareh adalah pemain tempatan, statusnya akan ditentukan jabatan dalam FAM. Setahu saya, Sumareh tidak boleh membawa kes ini kepada FIFA kerana ia tiada kena-mengena dengan FIFA.

“Bahagian FIFA sudah selesai ketika mengeluarkan ITC (sementara), status pemain pula di bawah kuasa FAM,” kata Dato’ Windsor.

Isu mengenai Sumareh hangat diperkatakan apabila pemain itu dilaporkan sudah lebih sebulan hilang dari kem latihan Pahang dan kemudiannya membuat keputusan membatalkan kontrak dengan Pahang secara sebelah pihak, dipercayai kerana masalah tunggakan gaji.

Dia mengaktifkan klausa 8.7 di dalam kontraknya yang membenarkan pemain membatalkan kontrak jika tidak menerima gaji lebih daripada sekali.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bagaimanapun menafikan pemain itu tidak menerima gaji, malah menegaskan semua pembayaran tertangguh sudahpun dijelaskan dan pemain itu yang melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.

Sambil menyatakan rasa kecewa, Tengku Abdul Rahman melabel Sumareh sebagai tidak professional dan tidak mengenang budi, dan mahu memastikan pemain itu dihukum sewajarnya oleh AFC dan FIFA.

TIADA SIAPA TAHU CERITA SEBENAR

Mengenai perkara ini, Dato’ Windsor berkata kedua-dua pihak mempunyai hujah masing-masing tetapi cerita sebenar hanya akan terdedah apabila FAM membuat siasatan.

“Kita harus melihat selama mana perkara ini (tunggakan gaji) berlaku dalam kerjaya Sumareh di kelabnya.

“Mungkin ia bukan kali pertama, mungkin ia sudah berpanjangan. Kita perlu tahu maklumat terperinci barulah kita boleh memberikan pendapat mengenai siapa yang bersalah dalam hal ini.

“Pemain mempunyai kontrak untuk bermain dan kelab mempunyai tanggungjawab untuk membayar gaji, itu adalah perkara asas dan mereka telah menandatangani persetujuan itu. Jadi, masing-masing mempunyai tanggungjawab tersendiri.

“Ia memerlukan tempoh yang lama untuk menentukannya kerana kita perlu mengambil kira segala surat-menyurat, sama ada pemain sudah memberikan notis menyenaraikan setiap perkara yang tidak diberikan kepadanya dan kerana itu dia mahu melakukan sesuatu.

“Kelab juga jika tidak bersetuju, mereka boleh memberikan notis untuk memberhentikan pemain dan sebagainya. Jadi, kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab dan ia sudah termaktub dalam kontrak pemain itu sendiri.

“Kita perlu melihat apa yang berada dalam kontrak itu. Itulah perkara paling penting. Kedua-dua pihak pasti tidak mahu mendedahklan maklumat ini kepada umum, jadi apa yang kita ketahui kini hanya sedikit.

“Apabila penyelidikan dibuat, mungkin oleh FAM, kedua-dua pihak perlu memberikan hujah mereka, sebab apa pihak lain bersalah. Pada waktu itulah kita akan mendapat tahu cerita sebenar,” tambahnya.

Sumber : Astro Arena/Stadium Astro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.