Sumareh tidak lagi bersama Pahang, sudah lebih sebulan hilangkan diri

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Pahang Dollah Salleh mengesahkan beliau sudah melupakan keinginan untuk menggunakan khidmat pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh dalam baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Ini kerana pemain itu sudah lebih sebulan menghilangkan diri dari kem latihan tok gajah dan Dollah Salleh tiada idea apa yang telah terjadi kepada pemain itu.

“Dia tidak lagi bersama pasukan sejak sebulan yang lalu, tidak muncul dalam sesi latihan. Apa sebenarnya yang berlaku, kami akan dapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan,” ujar Dollah dipetik dari Stadium Astro.

Berdasarkan kenyataan Dollah, ia seolah memberi bayangan bahawa Sumareh telah dilepaskan untuk menyertai pasukan lain, berkemungkinan besar Johor Darul Takzim bagi musim 2021.

Dengan pemain sayap pasukan pendahulu Liga Super itu, Safawi Rasid akan menyertai kelab Portugal (Portimonense SC) selepas Liga Malaysia 2020 berakhir, maka Sumareh dilihat sebagai pengganti tepat kepada pemain itu.

Baca : Safawi Rasid jadi superstar kerana pilih tempat yang betul 

Sumareh pada hakikatnya telah dikaitkan dengan perpindahan berprofil tinggi ke JDT sejak awal musim ini dan perkara itu semakin hangat diperkatakan apabila dia ‘bergurau mesra’ dengan pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim di instagram.

Kemudian pada bulan lalu, pemain dari Gambia itu menjawab spekulasi berkenaan dengan menyatakan tidak akan selamanya akan kekal di Pahang dan akan keluar sekiranya sebuah kelab seperti JDT datang dengan tawaran lebih baik.

Baca : Sumareh buka mulut mengenai spekulasi ke JDT

Baca : Sumareh didaftar Terengganu pada 2012, tetapi disingkir kerana tidak cukup bagus

Sebagai rekod, Sumareh mewakili PDRM selama tiga musim dari 2013-2015 sebelum berhijrah ke Perlis pada 2016, dan semusim kemudian mengikut Dollah Salleh menyertai Pahang pada 2017.

Dia menyerlah mencipta nama bersama Pahang dan mendapat kerakyatan Malaysia pada 2018, membolehkannya menyarung jersi Harimau Malaya.

Sepanjang bersama skuad tok gajah, Sumareh membantu pasukan itu muncul naib juara Liga Super dua kali pada 2017 dan 2019; juara Piala FA 2018 dan naib juara pada 2017.

Manakala ketika bersama PDRM, dia membantu pasukan itu muncul juara Liga Premier 2014.

Foto : Pahang FA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.