‘Supersub’ Kogi idam kasut emas Liga Super, buru tempat di dalam skuad kebangsaan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Selepas mencipta impak dalam musim sulungnya bersama PJ City FC, penyerang berusia 22 tahun Kogileswaran Raj semakin berani meletakkan sasaran lebih tinggi dalam karier.

Kogileswaran menamatkan Liga Super 2020 dengan 4 gol – berkongsi kedudukan penjaring terbanyak pasukan bersama Washington Brandao – walaupun banyak membuat penampilan sebagai pemain gantian, menyaksikannya digelar sebagai ‘supersub‘ Kogi.

Dan dia mengakui gelaran penjaring terbanyak Liga Super menjadi idamannya tetapi dia tahu untuk itu perlu terlebih dahulu mengukuhkan tempat di dalam kesebelasan utama.

“Untuk menjaringkan 4 gol dalam satu musim, mengambil kira ini adalah musim yang pendek sudah tentu mengujakan saya. Lebih-lebih lagi kesemua gol itu saya jaringkan apabila masuk sebagai pemain gantian.

“Mungkin jika bermain di dalam kesebelasan boleh buat lebih baik, dan setiap pemain idamkan aksi kesebelasan utama, termasuklah saya tetapi jurulatih melihat saya boleh memainkan peranan berbeza.

“Apabila dimasukkan, saya bermain sepenuh hati dan gembira jaringan saya beberapa kali memberikan mata penting kepada pasukan.

“Saya akan terus bekerja keras, impian saya adalah memenangi kasut emas Liga Super satu hari nanti, dan dalam masa sama mahu memburu tempat di dalam skuad Harimau Malaya,” kata Kogileswaran kepada TheStar.

Secara keseluruhan, Kogileswaran bermain lapan kali musim ini, sekali dalam kesebelasan utama dan tujuh kali sebagai pemain gantian.

Dia tidak diturunkan pada perlawanan pertama musim ini menentang Felda United, dan dimasukkan pada minit ke-77 dalam perlawanan kedua menentang Pahang.

Kogileswaran pantas mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan PJ City FC menerusi sepakan percuma cantik pada masa kecederaan untuk menewaskan bekas pasukannya itu.

Tiga lagi gol jaringannya musim ini adalah gol penyamaan minit akhir menentang Melaka United; serta satu gol masing-masing ketika PJ City menewaskan Uitm FC 4-2 dan PDRM FA 4-1 dalam aksi terakhir.

Mengenai peluang PJ City FC dalam saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula November, Kogileswaran percaya pasukan itu ada keupayaan untuk melangkah jauh, sehingga ke perlawanan akhir sekiranya bermain pada potensi sebenar mereka.

Sebagai rekod, Kogileswaran merupakan produk Frenz United dan memulakan karier profesionalnya bersama Pahang pada 2016 sebelum memilih untuk berhijrah bagi mencari lebih minit permainan pada akhir musim lalu.

Dia juga pernah beraksi dengan skuad Malaysia B-16, Malaysia B-19 dan anggota skuad Malaysia B-23 yang beraksi di Sukan SEA 2019.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.