Pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney tidak menolak akan kemungkinan berlakunya penipuan umur di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Mongolia pada minggu depan.
Begitupun dia tidak mahu memeningkan kepala memikirkan mengenai perkara itu dan hanya fokus mempersiapkan pasukan sebaiknya.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa (menipu umur) tapi memang ada dakwaan berlakunya perkara itu sebelum ini. Ia susah untuk dibuktikan.
“Dari memikirkan tentang perkara itu, lebih baik fokus kepada persiapan pasukan sendiri. Kita harap pemain akan berikan komitmen terbaik dan membantu pasukan layak ke final,” ujar Brad Maloney.
Skuad negara yang terbang ke Ulaanbaatar pada Rabu, akan berdepan Laos, Thailand dan tuan rumah dalam Kumpulan J.
Dalam pada itu, pemain TFC II Nur Azfar Fikri Azhar bersyukur namanya tersenarai dalam skuad akhir 23 pemain meskipun dia bersama pasukan hanya seminggu selepas dipanggil menggantikan pemain JDT II, Ahmad Aysar Hadi.
“Sejujurnya saya tidak menduga terpilih menyarung jersi skuad kebangsaan dalam saingan kelayakan Piala Asia B-23 lebih-lebih lagi kurang seminggu berada dalam kem latihan bagi menggantikan pemain yang cedera.
“Dengan pemilihan ini saya bersyukur kerana masih diberi peluang menyarung jersi skuad kebangsaan buat kali pertama, terima kasih kepada barisan kejurulatihan kerana memberi kepercayaan kepada saya.
“Tidak lupa juga barisan kejurulatihan TFC II yang diketuai Badrul Afzan Razali yang memberikan lebih minit permainan kepada saya dalam aksi Liga Perdana musim ini,” katanya.
Manakala seorang lagi pemain Hairiey Hakim Mamat mengakui pengalaman pertama kali menyarung jersi negara bakal menjadi momen paling indah dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Pengalaman baharu bagi saya dan saya gembira rakan-rakan sepasukan yang sentiasa menyokong antara satu sama lain walaupun saya pertama kali mewakili negara.
“Saya agak mengambil sedikit untuk menyesuaikan diri dengan taktik jurulatih Maloney yang berbeza dengan corak di kelab Terengganu.
“Namun Alhamdullilah semuanya lancar,” kongsinya yang bermain di bahagian pertahanan kepada Cakap Sukan.