“Susah nak dapat kerjasama pemain untuk promosikan produk” – DS Vida

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Usahawan yang juga jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Vida, menetapkan beberapa syarat untuk menjadi pemilik baru pasukan Perak FC.

Perak FC musim ini dihimpit pelbagai kemelut memalukan, paling utama kemelut kewangan kritikal yang membawa kepada berlakunya masalah tunggakan gaji.

Mereka kini sedang mencari penaja atau pelabur yang boleh menyelamatkan pasukan itu daripada berkubur.

Akhbar tempatan pada Rabu melaporkan Vida berminat untuk menjadi pemilik baru pasukan itu tetapi enggan terburu-buru membuat keputusan mengambil kira pengalaman pahit bersama Kelantan FC kira-kira lima tahun lalu.

“Benar (serius) dan saya juga mempunyai syarat-syarat saya dan perlu berbincang terlebih dahulu dengan pasukan saya.

“Bukan saya mahu menjadikan syarat saya itu sebagai beban tetapi berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, saya tidak dapat kerjasama daripada pemain untuk mempromosikan produk saya, bahkan saya perlu membayar mereka jika mahu mempromosikan produk saya, jadi banyak wang yang terpaksa dikeluarkan.

“Saya perlu mengambil kira juga perkara-perkara seperti itu kerana saya bukan siapa-siapa, saya bukan menteri. Saya hanyalah usahawan yang menggunakan platform sukan, khususnya bola sepak seperti ini bagi mengetengahkan produk saya,” katanya kepada Nadi Arena. 

Sebagai rekod, Vida pada 2016 telah menandatangani kontrak penajaan selama dua tahun bersama Kelantan FC, dengan nilai tajaan dilaporkan sebanyak RM16 juta.

Susulan kerjasama itu juga, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dicat warna pink manakala nama pasukan diminta ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors sebagai antara syarat penajaan.

Begitupun kerjasama yang dimeterai terlerai tidak sampai setahun berikutan pelbagai syarat yang tidak dapat dipenuhi selain Vida menyatakan rasa kecewa tidak mendapat pulangan pelaburan sepertimana diharapkan.

Malah beliau juga ditegur penyokong kerana cuba masuk campur dalam soal pengurusan pasukan dan bertindak ‘lebih sudu dari kuah’ dengan memberikan kenyataan mengenai prestasi pasukan, menyebabkan akhirnya dia menarik diri.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Ahmad Yani, memberitahu setakat ini pihaknya belum menerima sebarang tawaran daripada pihak Vida berhubung prospek pengambilalihan dan ia hanyalah spekulasi.

Dalam masa sama beliau memberitahu Perak FC juga tidak pernah menghubungi Vida berhubung perkara itu namun jika benar beliau berminat, mereka sedia duduk berbincang.

“Perak FC sedia mempertimbangkan sebarang tawaran daripada mana-mana pihak yang berminat untuk membuat pelaburan, tidak ada masalah,” kata Ahmad Yani.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.