Swab test dah buat, semangat berkobar, tapi tiada padang nak turun berlatih

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali PJ City, K.Devan sudah tidak sabar untuk bertemu dengan pemain-pemainnya tatkala pasukan itu bersiap sedia turun padang menjalani latihan buat kali pertama selepas lebih tiga bulan.

Menurut Devan pemain-pemainnya sudahpun membuat ujian calitan (swab test) yang merupakan satu daripada kriteria ditetapkan Malaysian Football League (MFL) di mana keputusannya adalah negatif, justeru semangat masing-masing semakin berkobar untuk kembali berlatih.

Namun begitu, PJ City menurutnya belum dapat menamakan venue yang akan menjadi pusat latihan mereka berikutan padang Universiti Malaya yang merupakan venue latihan sebelum ini masih ditutup.

“Kami biasa berlatih di padang Universiti Malaya tetapi memandangkan ia di bawah Kementerian Pengajian Tinggi jadi semua universiti masih ditutup. Manakala Stadium MBPJ pula baru selesai pembaikpulihan dan belum mendapat kelulusan untuk digunakan.

“Pasukan Liga Malaysia juga tidak dibenar menggunakan padang terbuka jadi pilihan kami agak terhad. Kami sedang berbincang dengan Sime Darby untuk menggunakan padang mereka di Bukit Jelutong. Dijangka kami akan dapat jawapan pada Isnin dan Selasa sudah boleh memulakan latihan.

“Bagi saya ia bukan satu isu untuk memulakan latihan lebih lewat berbanding pasukan lain, apa yang penting adalah bagaimana kita berlatih bukannya berapa lama,” ujar Devan sambil memberitahu bahawa fokus utamanya dalam dua minggu pertama latihan adalah membina kekuatan stamina dan kecergasan pemain.

Tambah Devan, “Saya gembira melihat pemain berjaya mengekalkan berat badan mereka sepanjang PKP, ia sesuatu yang bagus cuma kebimbangan saya adalah mengenai tahap kekuatan mental mereka selepas begitu lama tidak turun padang dan terperap di rumah.”

Sebelum saingan Liga Super ditangguhkan, PJ City telah bermain tiga perlawanan dan mencatat satu menang, satu seri dan satu kekalahan. Perlawanan menentang Terengganu FC yang sepatutnya menjadi aksi terakhir sebelum PKP terpaksa ditangguhkan kerana masalah venue justeru bermakna mereka akan bermain lapan perlawanan apabila liga bersambung.

Foto : PJ City FC

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.