Syafiq Ahmad tekad buktikan pemilihannya bukan satu kesilapan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemilihan penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad ke dalam skuad kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara yang hebat dipertikaikan.

Ini kerana dia tidak berada pada tahap prestasi sama seperti dua tahun lalu yang menyaksikannya dianggap pemyerang terbaik dalam negara, malah dia juga tidak membuat banyak penampilan musim ini selain ‘ditolak’ bermain dengan pasukan JDT II.

Begitupun pemain berusia 24 tahun ini tekad membuktikan pemilihannya bukan satu kesilapan, meskipun dia sebenarnya baru sahaja bangkit daripada pertarungan emosi selepas melalui pengalaman pahit dalam hidupnya apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.

Kemalangan itu mengorbankan bayi lelakinya, Muhammad Aisy Saqeef serta ibu mentuanya, Zainab Wahab dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti.

“Memang tempoh yang agak sukar kerana perkara ini selalu ada dalam ingatan namun bila sudah masuk dalam padang sertai latihan akan lupa masalah seterusnya berikan terbaik kepada pasukan.

“Apa yang saya rasakan adalah sukar lupakan peristiwa itu namun untuk hilangkannya selalu bercakap dengan orang berfikiran positif kerana itulah sebahagian daripada perjalanan kehidupan.

“Saya mahu diberikan sedikit masa untuk perbaiki kelemahan dan membuktikan kemampuan terutama apabila berada di atas padang,” katanya pada sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

Sementara itu, Syafiq Ahmad dijangka akan diturunkan di dalam kesebelasan utama pada perlawanan persahabatan menentang Bahrain Jumaat ini berikutan ketiadaan Guilherme De Paula.

De Paula hanya boleh diturunkan dalam perlawanan rasmi FIFA selepas melengkapkan status naturalisasinya pada 1 Jun.

Justeru Syafiq Ahmad menyifatkan ia memberikannya peluang terbaik untuk membuktikan kemampuannya kepada barisan kejurulatihan.

“Kita tahu De Paula adalah pemain yang bagus dalam liga, jadi inilah peluang untuk saya buktikan kemampuan. Saya akan buktikan apa yang pernah saya lakukan dan yang boleh saya lakukan untuk perlawanan akan datang.

“Apa yang jurulatih bagi peluang dan kepercayaan, saya akan terus lakukan apa yang pasukan perlukan di dalam padang,” tambahnya.

Syafiq Ahmad beraksi selama 40 minit dalam perlawanan latihan menentang Kuwait Ahad lalu, yang mana Harimau Malaya tewas 1-4.

Syafiq Ahmad setakat ini telah menjaringkan dua gol dalam pusingan kelayakan, termasuk gol tunggal dalam kekalahan kepada UAE di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.