Syamsul Saad Direhatkan Kelantan United Gara-Gara Prestasi Buruk

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketiadaan kelibat Syamsul Saad ketika Kelantan United tewas kepada Terengganu FC II pada Isnin terjawab, apabila diberitakan pengendali itu sebenarnya direhatkan susulan prestasi buruk pasukan itu dalam Liga Premier 2022.

Kelantan United yang pada awal musim dianggap pilihan untuk mencabar kejuaraan Liga Premier, mengharungi perjalanan musim yang suram apabila tidak menang dalam sembilan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Kemenangan terakhir mereka adalah ketika menewaskan perak 3-2 pada 27 April, dan ini menyaksikan pasukan Kijang Hijau menghuni tangga kelima daripada 10 pasukan dengan mengumpul 18 mata.

“Di Kelantan United, kita ada indeks prestasi utama (KPI) tertentu yang telah kita tetapkan. Dalam beberapa perlawanan baru-baru ini, kita lihat pasukan tidak mendapat keputusan memberangsangkan sekali gus gagal mencapai KPI ditetapkan.

“Walaubagaimanapun Syamsul masih bersama Kelantan United sehingga kontraknya tamat. Syamsul akan diletakkan di suatu bahagian yang akan ditetapkan oleh pihak kelab.

“Buat masa ini tugasan ketua jurulatih dipangku Sazami Shafi’i dan kelab akan menentukan ketua jurulatih baru dalam masa terdekat,” kata Ketua Pegawai Operasi Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz.

Dalam aksi menentang TFC II di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kelantan United mendahului menerusi Amirul Shafik Che Soh pada minit kelapan tetapi kemudian membenarkan TFC II bangkit menerusi dua sepakan penalti Amirul Syazwan dan Wan Mohamad Fazli.

Walaupun berjaya mengikat kedudukan menerusi Julius Ofori, tuan rumah tewas menerusi jaringan Wan Mohamad Fazli lima minit sebelum tamat permainan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.