“Tak Apa, Buat Silap Perkara Biasa, Tengok Apa Yang Boleh Kita Belajar” – Kim Pan-gon

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memang kecewa dengan kekalahan di tangan Bahrain, tetapi tidak mahu menghabiskan masa untuk merungut atau menuding jari kepada sesiapa.

Malaysia mendahului menerusi jaringan Mohamadou Sumareh pada minit ke-54, tetapi Bahrain segera bangkit mengikat kedudukan sebelum mengesahkan kemenangan menerusi jaringan penalti pada minit ke-81.

Lebih menyakitkan hati, penalti itu diberikan pengadil kerana kesilapan pemain paling senior di dalam skuad, yang juga kapten pasukan, Farizal Marlias menjatuhkan pemain Bahrain.

Kim Pan-gon berkata daripada mencari salah, lebih baik melihat apa yang boleh dipelajari.

“Saya tidak boleh merungut kerana pemain sudah memberikan yang terbaik. Kita tidak boleh melonjak daripada sini (kedudukan sekarang) ke tempat yang lebih tinggi hanya dalam beberapa hari.

“Setiap tahun kita akan berdepan pelbagai kejohanan dan bola sepak sentiasa berterusan. Berapa banyak yang kita belajar, berapa banyak yang kita boleh tingkatkan, kita tidak perlu kecewa dan terlalu bersedih.

“Kita perlu yakin dan bangga dengan apa yang sudah kita lakukan. Kita perlu fokus untuk perlawanan seterusnya kerana saya rasa ini adalah caranya sebagai seorang yang profesional untuk mewakili negara.

“Pada masa sama, harus betulkan kesilapan dan tunjukkan semangat untuk mencapai sasaran seperti yang dimahukan penyokong, Inilah caranya kerana tiada masa untuk menyesal dan kecewa.

“Kita ada perancangan dan kini kita ada semangat berpasukan yang lebih tinggi. Apa yang pasti kita tidak boleh terlepas peluang untuk ke pusingan akhir dan pemain tahu betapa pentingnya perlawanan terakhir ini,” kata Kim Pan-gon.

Sementara itu, pemain tengah, Syamer Kutty Abba berpendapat Harimau Malaya seharusnya boleh meraih kemenangan jika dilihat kepada corak permainan yang ditunjukkan terutama deretan peluang yang terhasil di sepanjang babak pertama.

“Mungkin kita patut menang kerana kita ada kira-kira tiga peluang keemasan yang betul-betul boleh menjaringkan gol dan pasukan lawan pun mungkin ada beberapa peluang sahaja.

“Tetapi inilah bola sepak kerana kita mencuba tetapi bukan selalu kita boleh sudahkan peluang itu. Saya tetap bangga dengan rakan sepasukan yang sudah memberikan segalanya untuk negara.

“Aksi menentang Bangladesh nanti bukanlah mudah tetapi kita akan tampil dengan penuh bermotivasi bagi memberikan yang terbaik dalam setiap aspek,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.