Tak Boleh Daftar Pemain Baru, Perak FC Boleh Guna Pemain Presiden & Belia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Perak FC diketahui berdepan sekatan pendaftaran pemain baru bagi saingan Liga Malaysia 2022 yang dikenakan oleh FIFA berikutan belum menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM1.7 juta kepada bekas pemainnya.

Dengan masa yang singkat sebelum tarikh tutup pendaftaran pertama ditutup pada 22 Februari, ia dilihat mustahil untuk pengurusan baru Perak FC menyelesaikan tunggakan itu, lantas memungkinkan mereka meneruskan saingan tanpa pemain baru, atau lebih teruk tanpa pemain yang mencukupi.

Begitupun, Perak FC nampaknya boleh menarik nafas lega apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Stuart Ramalingam berkata pasukan itu boleh mendaftarkan pemain-pemain daripada pasukan Piala Presiden ataupun Piala Belia sekiranya gagal keluar daripada larangan pendaftaran pemain baru.

“Dalam peruntukan tidak boleh mendaftar pemain baru sama ada pemain tempatan atau import. Ia bermakna pasukan Perak terpaksa main dengan pemain yang sudah berdaftar dengan pasukan itu yang mana sama ada pemain dalam Liga Super (musim lalu), Piala Presiden atau Piala Belia.

“Mengikut peraturan pertandingan kita, minimum 20 pemain didaftarkan, maksimum 30 pemain. Kalau dapat 19 pemain sahaja, perkara ini saya boleh bawa kepada Ahli Lembaga Pengarah.

“Pertimbangan boleh dibuat oleh MFL, kita akan bantu sejauh yang boleh disebabkan mereka bukan tak nak daftar, tapi berdepan kekangan ini,” katanya selepas Majlis Pengenalan Penaja Baharu Liga Super, Luno Malaysia, pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) G.Irudianathan mengesahkan pengurusan Perak FC sedang berusaha menyelesaikan masalah tunggakan hutang mereka dalam tempoh seminggu atau dua minggu ini.

“Dalam jangka masa seminggu atau dua minggu ini, kita akan berusaha selesaikan masalah dalaman dihadapi Perak FC. Selepas itu mungkin saya akan berbincang dengan beberapa pihak berhubung pengambilan pemain.

“Satu mesyuarat diadakan bersama Impact Media Communication (IMC) dan beberapa pihak lain termasuk pemain berhubung perkara itu baru-baru ini. Ada perbincangan berlaku bersama beberapa pihak termasuk pemain dan perkara ini diselesaikan secara dalaman.

“Sekiranya kita tidak dapat bayar, mungkin kita tidak dapat pemain baru. Maka kita gunakan pemain sedia ada untuk menggerakkan pasukan dahulu,” katanya selepas Kongres Tahunan PAFA ke-63 di sebuah hotel pada Ahad lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.