Tak bolehlah harapkan jurulatih semata-mata, nama pun pemain profesional

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berpendapat pemain bolasepak profesional seharusnya bertanggungjawab ke atas kecergasan masing-masing.

Baru-baru ini Tunku Ismail Sultan Ibrahim (pemilik Johor Darul Takzim) menyalahkan latihan intensiti rendah bersama Harimau Malaya adalah punca pemain tonggaknya, Safawi Rasid tidak dapat beraksi di tahap terbaik.

Pemain itu gagal membawa impak dalam tiga perlawanan bersama Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, dan turut gagal menyerlah di pentas Liga Juara-Juara Asia namun Azlan Johar berkata tidak wajar untuk menuding jari kepada barisan kejurulatihan atas isu kecergasan pemain itu.

“Pemain profesional ada tanggungjawab sendiri, takkan semuanya terletak di tangan jurulatih kerana jurulatih pun ada pemain-pemain lain yang harus diberi perhatian.

“Kalau kita rasa tak cergas dan kalau rasa jurulatih tak bagi latihan yang secukupnya, kita kenalah buat latihan sendiri. Maksud profesional itu, apa-apa pun kita kena buat sendiri.

“Saya bagi contoh Datuk Lee Chong Wei, bagaimana beliau melakukan latihan tambahan dalam latihan setiap hari. Kalau jurulatih bagi tugasan 50 kali buat pukulan ‘smash’, Chong Wei pula akan tambah sendiri buat 200 kali ‘smash’.

“Bila kita bertanggungjawab dengan kerja kita, barulah kita boleh nak cabar peringkat dunia. Kalau sekadar nak berlatih ikut arahan jurulatih tanpa latihan tambahan sendiri, memang takkan ke mana-mana hanya di takuk itu saja,” kata Azlan Johar dilaporkan Arena Metro. 

Tambahnya lagi, “Bersukan untuk negara ini ialah pengorbanan. Kalau kamu tak nak berkorban, bagaimana orang nak berkorban untuk kamu.

“Keuntungan sebagai pemain cukup banyak, tapi keuntungan untuk rakyat hanya satu sahaja, iaitu nikmat kemenangan dan sorak kegembiraan daripada pemain-pemain yang menang.

“Ketekunan dan kejujuran yang kita pamerkan sekarang pastinya akan terbawa bawa sifat murni ini untuk kita terapkan dalam membina karier seterusnya selepas bersara.

“Harus diingat pengorbanan untuk negara ini hasilnya bukan kita nampak sekarang. Pelbagai hasil yang akan kita peroleh contohnya bantuan, rasa hormat dan layanan istimewa yang kita sendiri tidak minta akan kita kecapi dari masyarakat, perkara ini nyatanya tidak ternilai.”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.