Tak Habis-Habis Bagi Alasan Pendedahan & Tak Bernasib Baik, Azlan Johar Bantai Brad Maloney

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Alasan yang diberikan oleh jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Brad Maloney selepas tersingkir awal di Piala AFF B-23 yang sedang berlangsung di Kemboja, ternyata mengecewakan bekas pemain kebangsaan Azlan Johar.

Skuad negara yang pada mulanya dijangka akan akan mudah melangkah ke separuh akhir susulan penarikan diri Indonesia dan Myanmar, tersingkir dengan cara yang cukup memalukan selepas tewas dua kali – kedua-duanya di tangan pasukan ‘kerdil’ Laos masing-masing dengan keputusan 1-2 dan 0-2.

Meskipun kecewa dengan kegagalan melangkah ke separuh akhir, Brad Maloney berkata dia tetap positif dengan skuad ini kerana ramai pemain mendapat pendedahan beraksi di pentas antarabangsa buat pertama kali selain dapat menguji pemain baru berikutan ketiadaan pemain utama.

Ia jelas tidak disenangi oleh Azlan Johar yang berkata, “Saya nak tanya Maloney, pendedahan mana yang bagus? Pendedahan mengecapi kemenangan atau pendedahan mengecapi kekalahan? Mana satu yang penting?

“Pendedahan itu sebenarnya kita mendedahkan pemain untuk menikmati kemenangan. Jangan kita buat pendedahan dan kita kata kalah pun tak apa… itu salah.

“Sepatutnya kita kena buat pendedahan untuk menikmati kemenangan. Daripada kemenangan itu, pemain-pemain muda negara dapat menilai persediaan yang telah dibuat selama ini,” katanya dipetik daripada Sukan Sinar.

Tambah Azlan Johar lagi, “Sebagai jurulatih, Brad seharusnya tahu dan dapat berfikir lebih jauh dan mendahului semua pihak. Jika kekalahan itu berpunca akibat tidak cukup pemain kerana ada positif Covid-19, beliau harus bersedia awal.

“Dalam situasi Covid-19 sekarang, beliau perlu sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan kerana penyokong bola sepak Malaysia tak mahu tahu alasan tetapi apa yang mereka mahu adalah kejayaan.”

Selain mengatakan objektif utama adalah memberi pendedahan, Brad Maloney juga berkata bahawa pasukannya telah beraksi dengan cukup baik apabila dapat menguasai perlawanan cuma tidak bernasib baik kerana ketiadaan sentuhan penyudah – satu lagi alasan yang dianggap lapuk oleh Azlan Johar.

“Kebanyakan jurulatih di negara ini mereka terlalu asyik dengan kenyataan yang mengatakan kita lebih banyak mengawal bola tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan.

“Pada saya kalau kawal 100 peratus bola pun tetapi tak boleh cipta peluang gol, tidak ada gunanya kerana dalam bola sepak orang nak tengok jaringan gol.

“Dalam bola sepak moden, kena cepat hantar bola ke atas untuk jaringkan gol. Jadi saya minta tukarlah segera corak permainan kita sebelum terlambat,” tegasnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.