Tak jauh mana pun beza mata, JDT diingat supaya tidak terlalu yakin

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Sri Pahang disifatkan sudah bangkit dan boleh menjadi pengacau kejuaraan Liga Super. Foto Kredit : Sri Pahang FC


Jika sebelum ini dua bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh dan Azlan Johar menyuarakan keyakinan tinggi Johor Darul Takzim (JDT) akan mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan, lain pula pendapat seorang lagi pemerhati bolasepak, Sadek Mustaffa.

Sadek berpendapat beza tiga mata mengatasi Terengganu FC dan empat mata ke atas Kedah Darul Aman, bukanlah kelebihan besar buat JDT apatah lagi dalam baki sembilan perlawanan, apa sahaja boleh berlaku.

Malah dia juga mengingatkan bahawa pasukan-pasukan yang bergelut dengan prestasi sepanjang pusingan pertama seperti Sri Pahang FC berpotensi menjadi pengacau berdasarkan kebangkitan hebat ditunjukkan dalam tiga perlawanan terakhir.

“Beza mata tak jauh mana, dan ada sembilan perlawanan untuk diharungi. Pahang nampak ada perubahan dan rentak permainan JDT pun tak stabil juga, maksudnya pasukan lain boleh melawan mereka dan susah untuk JDT menang.

“Kalau pasukan lain boleh mengekang JDT daripada meraih kemenangan, peluang merebut kejuaraan akan terbuka.

“Tapi pada masa sama, pencabar kejuaraan yang lain seperti Terengganu FC dan Kedah mesti konsisten yang mana mereka tak boleh kalah dalam sembilan perlawanan terakhir,” kata Sadek dilaporkan BH Sukan.

Sebagai rekod, selepas 13 perlawanan, JDT bimbingan Benjamin Mora memimpin carta Liga Super 2021 dengan 30 mata hasil sembilan kemenangan dan tiga keputusan seri.

Skuad harimau selatan itu mencicirkan mata dalam perlawanan menentang Selangor FC (1-1); Perak FC (2-2),  KL City FC (1-1) dan tewas 0-1 di tangan Terengganu FC yang juga kekalahan pertama dalam liga sejak Julai 2019.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Uitm Shah Alam itu lagi, “Sebahagian besar pemain JDT adalah pemain kebangsaan. Jadi mereka mungkin kepenatan kerana selain terbabit dengan perlawanan antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya, mereka juga bakal mengharungi aksi ACL (Liga Juara-Juara Asia).

“Saya rasa JDT tahun ini tak boleh terlalu yakin, mereka ada beberapa pencabar. Malah, perbezaan mata mereka juga tidak jauh dengan pasukan lain dan jika seri dua kali, mereka sudah boleh dikejar pasukan lain,” katanya.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.