Tak Mungkin Sejarah Tercipta Buat JDT Jika Bukan Kerana TMJ

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kejayaan Johor Darul Takzim melakar sejarah gemilang bolasepak tanah air apabila melangkah penuh bergaya ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia 2022 tidak mungkin terjadi jika bukan kerana Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

JDT mara selaku juara Kumpulan I yang turut dihuni tiga pasukan gergasi Asia iaitu Kawasaki Frontale (Liga Jepun), Ulsan Hyundai (Korea) dan Guangzhou Evergrande (China) dengan mengutip 13 mata – pencapaian terbaik mereka sepanjang empat tahun beraksi di kejohanan elit Asia itu.

Bagi Benjamin Mora, semua pihak dari pemain hingga ke barisan kejurulatihan telah memainkan peranan masing-masing dengan cukup baik, namun menegaskan usaha, visi, perancangan dan keghairahan Tunku Ismail adalah pencetus kepada apa yang dicapai pasukan itu.

“JDT cuma sebuah kelab kecil dari Johor, jadi saya amat berbangga. Saya tidak melihatnya sebagai rekod, saya lihatnya sebagai detik sejarah buat bola sepak Johor dan sudah pasti JDT. Saya sebagai jurulatih dan pemain adalah pemain, tapi yang bertanggungjawab terhadap kejayaan ini adalah bos kami, TMJ,” katanya selepas perlawanan tempoh hari.

Kejayaan bersejarah skuad Harimau Selatan turut menyaksikan mereka meraih durian runtuh, apabila bakal menerima imbuhan sekitar AS$310,000 (kira-kira RM1.35 juta).

Ini kerana Konfederasi Bolasepak Asia selaku penganjur pertandingan menetapkan setiap pasukan yang menang dalam aksi peringkat kumpulan akan menerima AS$50,000 (RM217,600) sementara pasukan yang seri akan mendapat habuan AS$10,000 (RM43,520).

JDT mencatat empat kemenangan dan satu seri lantas mengumpul AS$210,000 (RM913,920) sebelum menambah lagi AS$100,000 (RM435,200) susulan kejayaan mara ke pusingan kedua yang mengumpulkan 16 pasukan terbaik Asia.

Kejayaan JDT juga mendapat pujian daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin yang menganggap ia mampu menjadi pemangkin kepada moral pemain negara untuk melakar kejayaaan lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

“Tahniah JDT! Kejayaan ini bukan sahaja mampu menaikkan moral pemain negara untuk mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat tertinggi tetapi diharap menjadi contoh terbaik kepada bola sepak negara.

“Terbukti dengan kerja keras serta perancangan yang baik seperti diusahakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim, semuanya membuahkan hasil yang amat membanggakan.

“Kejayaan ini secara tidak langsung akan meningkatkan tahap permainan, kualiti dan mutu bola sepak negara seiring untuk bersaing dengan kelab dari kuasa besar bola sepak Asia,” katanya.

Foto kredit : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.