Tak mustahil Kelantan FC layak ke Liga Super

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain tengah baru Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohd tekad membantu pasukan itu layak ke Liga Super musim depan sebagai membalas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya untuk kembali menyinari saingan Liga Malaysia musim ini.

Bekas pemain UKM FC ini hampir berputus asa selepas gagal untuk menarik minat mana-mana pasukan sehinggalah dipancing Kelantan FC di jendela perpindahan kedua pada bulan Mei lalu.

“Nak cari kelab baharu pada musim ini memang agak sukar dan saya akhirnya hampir berputus asa untuk beraksi lagi dalam kancah bola sepak.

“Tetapi, saya bersyukur apabila diberi peluang untuk bersama Kelantan dan saya akan pastikan kehadiran saya mampu beri impak positif kepada pasukan ini.

“Sasaran kelab adalah kedudukan lima teratas liga, tetapi sebagai pemain, tidak salah untuk saya cuba sama-sama bantu pasukan agar layak ke Liga Super dan ia tidak mustahil.

“Apa-apa pun, saya harap saya dapat bina balik karier dan nama di sini kerana saya sedar persaingan semakin sengit untuk mendapat tempat dalam mana-mana pasukan,” ujar pemain yang menyarung jersi Melaka United pada musim 2017 ini.

Tambah pemain kelahiran Terengganu itu, keserasian bersama pasukan baharu ketika ini semakin menunjukkan peningkatan tetapi mengakui bukan mudah untuk menambat hati pengendali, Marco Ragini.

Namun, dia berharap peluang dapat diberikan kepadanya untuk turun beraksi dalam perlawanan menentang Perak FC II pada 17 Julai ini – perlawanan pertama selepas lebih dua bulan Liga Malaysia berhenti rehat.

“Keserasian semakin bertambah baik dengan pemain-pemain di sini, jadi saya rasa tiada masalah untuk saya memberi fokus yang terbaik bersama pasukan.

“Cuma, untuk berada dalam kesebelasan utama memang bukan mudah dan pemain-pemain muda yang ada di sini semuanya cukup berpotensi.

“Jadi, memang tidak boleh ambil mudah dan saya suka persaingan secara sihat di sini untuk merebut tempat”, katanya.

Sebagai rekod, Kelantan FC ketika ini menduduki tangga ketujuh Liga Premier dengan 14 mata dari 10 perlawanan, sembilan mata di belakang pendahulu Sarawak United.

Baru-baru ini Marco Ragini mengakui belum berpuas hati dengan pencapaian itu kerana menurutnya skuad The Red Warriors punyai kualiti menyaingi kelompok atasan liga.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.