Tak pernah pun cakap tak nak ambil, sepatutnya bincang dulu sebelum saman

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa menganggap tindakan Simon Elissetche membuat tuntutan RM3.5 juta dan mengheret pasukan Kuala Lumpur United ke Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), sebagai tindakan yang tidak betul.

Simon Elissetche nekad mengambil tindakan itu bukan sahaja kerana tidak berpuas hati kontraknya sebagai jurulatih baru KL United dibatalkan tanpa alasan yang munasabah, tetapi demi membersihkan namanya selepas pihak KLFA mencemarkan namanya dengan mendakwa dia memiliki lesen kejurulatihan yang tidak diiktiraf.

Menurut Nokman, konflik tercetus antara kedua-dua pihak boleh diselesaikan tanpa membabitkan tindakan undang-undang sekiranya Simon tidak terburu-buru sebaliknya datang berbincang terlebih dahulu dengan KLFA.

“Kalau kata dia ada perjanjian, maka perjanjian itu dengan KLFA dan bukan dengan KL United sebab KL United sudahpun diswastakan. Kita pun tidak pernah cakap yang dia ditolak. Tiada masalah pun kalau kita ambil dia sebagai pengarah teknikal ataupun jurulatih skuad muda.

“Dulu kita tawarkan jadi jurulatih tetapi sekarang KL United sudah diswastakan. KLFA jadi persatuan negeri (FA), jadi tiada tempat untuk dia tetapi kita boleh cari tempat lain. Mungkin jurulatih bawah 21 tahun (B-21), B-22 atau pengarah teknikal, tengoklah pada keadaan.

“Tetapi dia kena datang berbincanglah dengan kita. Sepatutnya kalau dia ada masalah, dia hubungi kita dahulu dan itulah yang sebetulnya kerana kontrak itu daripada KLFA dan bukan KL United.

“(Saman) itu saya tidak tahu dan saya kena tanya peguam sama ada boleh pakai atau kalau dia mahu lawan, lawanlah. Saya tidak boleh mengulas lanjut sebab saya pun tidak tahu apa yang berlaku.

“Kalau dia mahu saman, biarlah. Kita pun boleh buat saman tetapi pada saya, salah. Sepatutnya datang berbincang dengan KLFA baru jumpa media. Jangan bincang kemudian sebab kalau sampai ke peguam, ada yang tidak kenalah,” kata Nokman kepada BH Sukan.

Peguam Simon Elissetche, Zhafri Aminurrashid pada Rabu memberitahu bahawa dua tindakan akan diambil ke atas KL United iaitu tindakan sivil atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan mengenai kelayakan Simon yang memberi kesan kepada kariernya di mana ada pasukan yang mahukan khidmatnya tertanya-tanya kerana takut lesen tidak sah.

Manakala tindakan kedua adalah kepada FIFA di mana kes ini jelas menunjukkan berlakunya pelanggaran kontrak kerana kontrak sudah ditandatangani namun atas dibatalkan atas sebab yang hanya diketahui oleh KL United.

Bagi musim 2021, KL United akan dibimbing oleh bekas jurulatih Kelantan, Johor Darul Takzim dan skuad B-19 negara, Bojan Hodak.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.