Tak Ramai Yang Faham Agenda Sulit Tan Cheng Hoe

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail beranggapan ramai yang tidak faham tujuan Tan Cheng Hoe tidak memanggil ramai pemain-pemain tonggak dari Johor Darul Takzim untuk aksi persahabatan antarabangsa minggu lalu.

Menurut living legend itu, Cheng Hoe sedar dia tidak boleh selamanya bergantung kepada pemain JDT justeru itulah sebab dia mengambil peluang mengetengahkan dan memberi pendedahan kepada pemain-pemain baru untuk memperbanyakkan pilihan pemain untuk dipanggil selepas ini.

Dalam masa sama dia juga tidak bersetuju untuk mengaitkan aksi buruk Harimau Malaya yang tewas 0-4 kepada Jordan dan 1-5 kepada Uzbekistan dengan ketiadaan pemain-pemain JDT.

Selain Safawi Rasid, pemain JDT lain yang tidak dipanggil termasuklah Corbin Ong, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh, Farizal Marlias, Arif Aiman dan Syamer Kutty Abba manakala Akhyar Rashid pula disisihkan kerana kecederaan.

“Ketiadaan pemain-pemain JDT dalam pasukan mesti kita gunakan untuk mengetengahkan pemain-pemain baharu, supaya kita mempunyai pilihan lebih banyak selepas ini.

“Pemain-pemain baharu itu bila kita gabungkan dengan pemain JDT akan menjadikan skuad kebangsaan lebih hebat. Pemain-pemain baharu ini kita mesti tolong dengan beri pendedahan supaya mereka dapat tunjukkan kemampuan dan raih keyakinan untuk mewakili negara.

“Saya sokong 200 peratus apa yang Cheng Hoe buat, kerana bagi saya ini satu tindakan berani yang orang takkan fikir dia (Cheng Hoe) berani untuk tonjolkan pemain-pemain baharu berdepan Jordan dan Uzbekistan.

“Seperti Faisal (Halim) dan Mukhairi (Ajmal), mereka adalah dua pemain kita tahu mempunyai bakat terpendam selama ini dan tidak mendapat perhatian, tetapi apabila diberi peluang kali ini mereka menunjukkan hasil memberangsangkan,” kata Jamal Nasir.

Pemain lain yang mendapat peluang membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya adalah Arif Fadzillah, Hakimi Abdullah dan Quentin Cheng tatkala Tan Cheng Hoe turut memanggil semula beberapa pemain lama seperti Akram Mahinan, Baddrol Bakhtiar, Kenny Palraj dan Khairul Fahmi Che Mat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.