Takkan penyokong mahu saya terus bereksperimen di saat getir seperti ini?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan dia tiada masa untuk bereksperimen dengan memanggil pemain-pemain baru, tatkala beberapa pemain wajah sama yang disenaraikannya untuk kem latihan skuad kebangsaan kali ini menjadi pertikaian hebat dalam kalangan penyokong.

Antara nama-nama yang dikecam kerana disenaraikan adalah Akhyar Rashid dan Daniel Amier Norhisham, selain Mohamadou Sumareh serta Norshahrul Idlan Talaha semuanya gara-gara minit permainan.

Bagi Tan Cheng Hoe, bukan dia tidak tertarik dengan pemain lain, tetapi dia mahu penyokong faham jika pemain baru dipanggil, maka dia perlu bereksperimen dan itu adalah sesuatu yang difikirkannya tidak perlu memandangkan masa yang semakin suntuk dan itu punca dia mengekalkan sebahagian besar pemain yang dipanggilnya pada 2019 dulu.

“Saya rasa setiap kali ada panggilan kem latihan pusat mesti ramai tidak puas hati dengan senarai pemain tetapi yang penting bagi saya mereka masih relevan untuk skuad kebangsaan kerana rata-rata pemain sudah bersama dengan saya dan juga menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Jadi saya harap mereka masih boleh memberi sesuatu kepada skuad kebangsaan, dan kalau kata dari segi tiada minit permainan, kita kena lihat dari segi bakat, dari segi kemampuan pemain itu saya rasa boleh memberi sesuatu kepada skuad kebangsaan.

“Ramai yang mempersoalkan kenapa saya pilih Mat Yo dan turut menyenaraikan de Paula ke kem latihan Harimau Malaya namun sebenarnya kami memilih dua pemain ini atas dasar kemampuan dan pengalaman yang ada.

“Sebelum ini, Norshahrul bersama dengan BG Pathum United iaitu kelab meraih kejuaraan saingan Liga 1 Thai musim 2020/2021 sekali gus dia mempunyai pengalaman yang boleh dimanfaatkan. Pemilihan pemain tiada kaitan dengan pengaruh pihak luar kerana kita mahu pilih yang boleh menggalas cabaran negara kerana perlawanan Jun nanti cukup mencabar,

“Barisan kejurulatihan sentiasa memantau perkembangan setiap pemain dalam saingan Liga Super dan Liga Premier tetapi dalam masa terdekat memang kita tidak boleh beri peluang kepada ramai muka baharu.

“Saya perlukan pemain tonggak utama untuk menjalani latihan sebab banyak lagi yang perlu ditingkatkan pasukan tetapi pintu skuad negara sentiasa terbuka untuk mana-mana pemain yang menunjukkan prestasi baik,” ujar Tan Cheng Hoe.

Pengendali itu turut mengakui tertarik dengan kualiti permainan bintang muda dalam pembikinan, Arif Aiman sambil berharap pemain itu terus konsisten.

Katanya, jika pemain berusia 18 tahun itu terus menunjukkan peningkatan, tidak mustahil beliau akan memanggil Arif pada kem latihan pusat Jun ini di mana skuad kebangsaan dijadual mengharungi tiga aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) nanti.

“Arif tunjukkan dia antara pemain muda yang sedang meningkat naik dan kita dapat lihat dia semakin matang di dalam padang.

“Itu satu petanda positif buat dirinya dan juga pasukan JDT serta negara. Saya dah lama tengok dia ketika dia dengan pasukan bawah 19 (B-19) tahun lagi, dia tunjukkan tahap permainan yang baik,” tambahnya lagi.

Skuad negara yang sudah setahun tidak menjalani latihan mahupun menghadapi aksi peringkat antarabangsa, dijadual berlatih mulai esok dengan 28 pemain muda dan senior disenaraikan.

Untuk rekod, Malaysia akan menghabiskan baki aksi Kumpulan G dengan menentang UAE, Vietnam dan Thailand dengan sasaran untuk mengungguli dua kedudukan teratas yang akan memberikan tiket ke Piala Asia di China pada 2023 dan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.