Takkan tak ada pasukan yang mahu ambil Thanabalan?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang sensasi skuad B-22 kebangsaan, N.Thanabalan mengakui masih mencari pasukan untuk meneruskan karier bolasepaknya dalam Liga Malaysia 2021.

Pemain berusia 26 tahun yang menyarung jersi Perak II pada musim lalu itu mendedahkan sebelum ini sudah ada tiga pasukan berhubung dan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya tetapi sehingga kini tiada kata putus.

“Saya ketika ini bebas daripada sebarang masalah kecederaan dan tetap menjaga stamina serta kecergasan agar sentiasa di tahap terbaik walaupun tidak bersama mana-mana pasukan. Saya beri jaminan mempamerkan persembahan terbaik sekiranya diberi kepercayaan oleh jurulatih,” ujar pemain itu.

Thanabalan membina karier bersama negeri kelahirannya Negeri Sembilan pada 2013 dan namanya mula meletup pada tahun 2017 selepas dia menjadi antara tonggak skuad B-22 kebangsaan meraih pingat perak Sukan SEA di Kuala Lumpur, di mana dia menamatkan kejohanan dwitahunan itu dengan meledak empat gol.

Dia juga membantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ketika itu untuk layak beraksi di Kejuaraan AFC B-23 di China pada 2018. Kecederaan lutut yang dialaminya menyebabkan dia terlepas peluang untuk mewakili negara di temasya Sukan Asia 2018 dan turut terlepas meraih kap sulung bersama skuad senior kebangsaan.

Disebabkan masalah kecederaan berulang itu juga, pemain ini tidak mengharungi perjalanan karier yang lebih baik sepertimana rakan sepasukannya dalam skuad muda kebangsaan antaranya Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid, Azam Azih dan Syamer Kutty Abba.

Dia membuat keputusan meninggalkan Negeri Sembilan pada penghujung 2018 bagi mencari cabaran baru selepas gagal membantu pasukan Hoben Jang Hoben kekal di Liga Super (Thanabalan hanya menjaringkan tiga gol pada musim tersebut).

Bersama Kedah bagi saingan musim 2019, isu kecederaan serta kegagalan berada pada tahap kecergasan terbaik menyaksikannya tidak dapat mencabar tempat di dalam kesebelasan utama dan sukar memenangi kepercayaan untuk diturunkan secara kerap.

Walaupun cuba memulihkan prestasi dan karier dengan memilih berhijrah ke Perak II, Thanabalan sekali lagi mengharungi musim 2020 yang mengecewakan, malah dia menamatkan musim pendek Liga Malaysia tanpa membuat sebarang penampilan.

Apakah masih ada peluang untuk nama Thanabalan kembali bersinar, pasukan mana yang akan menyelamatkan kariernya?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.