Tan Cheng Hoe Belum Terfikir Nak ‘Blacklist’ Nama Shahrul Nizam

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pertahanan Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni boleh menarik nafas lega apabila barisan kejurulatihan Harimau Malaya tidak mahu terburu-buru menghukumnya atas kegagalan melapor diri ke kem kebangsaan pada Jumaat.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe bersedia mendengar penjelasan pemain itu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Kita perlukan penjelasan daripada dia, mungkin dia ada urusan peribadi atau kecemasan yang perlu diselesaikan, kita tak pasti. Jadi kita tunggu dan lihat.

“Sudah pasti untuk pasukan kebangsaan, saya tak sekat (blacklist) mana-mana pemain. Kalau bermain dengan begitu baik di dalam Liga Malaysia, kita akan beri peluang. Jika ada pemain lain yang boleh ganti dia, mungkin kita terpaksa lupakan dia,” kata Cheng Hoe dipetik dari BH Sukan.

Shahrul Nizam yang merupakan tonggak Terengganu musim ini, merupakan satu-satunya pemain yang tidak melapor diri untuk kem latihan kali ini yang mana skuad negara membuat persiapan untuk mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa.

Namanya disenaraikan pada saat akhir sebagai menggantikan Dion Cools yang cedera dan itu antara faktor menyebabkan pemain itu tidak tahu khidmatnya diperlukan kerana dia sudahpun pulang ke kampung selepas perlawanan menentang Selangor pada Rabu, sebelum turun ke laut keesokannya.

Baca : “Niat Saya Turun Ke Laut Tolong Keluarga” – Shahrul Nizam Kecewa Jadi Sasaran Kecaman

Ketiadaannya menyebabkan skuad negara terbang ke Jordan dengan hanya 20 pemain berikutan Sharul Nazeem Zulpakar terpaksa digugurkan kerana kecederaan.

Dua lagi pemain iaitu Dominic Tan dan Luqman Hakim Shamsudin yang berpengkalan di luar negara pula akan terus menyertai pasukan di Jordan nanti.

Sementara itu, Cheng Hoe menegaskan ketiadaan pemain-pemain tonggak seperti Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid, Corbin Ong dan Matthew Davies membuka peluang terbaik untuk pemain-pemain baru cuba membuktikan kebolehan mereka.

“Saya harapkan agar mereka (pemain baharu) dapat menyesuaikan diri dan dalam masa yang sama dapat keyakinan bermain dengan pasukan Jordan dan Uzbekistan.

“Saya juga mahu menguji pemain baharu yang dipanggil agar mereka boleh bersedia apabila skuad negara memanggil mereka nanti untuk aksi kejohanan yang lebih besar. Saya rasa ini pentas paling terbaik untuk menguji mereka,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.