Tan Sri Annuar Musa buat ‘comeback’, kali ini bersama KL United!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa membuat comeback ke dalam arena bolasepak tanah air, apabila menyatakan persetujuan untuk menjadi Penaung dan Presiden Kelab Bolasepak Kuala Lumpur United.

Kali terakhir Tan Sri Annuar Musa terlibat secara rasmi di dalam kancah Liga Malaysia adalah pada 2017 sebagai Penasihat KAFA.

Beliau sebelum itu menerajui KAFA selama 10 tahun sebelum melepaskan jawatan pada bulan November tahun 2016.

“Saya telah menerima surat jemputan Kuala Lumpur United Football Club untuk menjadi Patron (Penaung) dan Presiden kepada pasukan Liga Super KL United.

“Setelah menimbangkan jemputan dan rayuan mereka, saya bersetuju menerima tawaran tersebut dengan syarat tawaran itu mestilah atas kapasiti peribadi saya, dan bersifat sukarela tanpa memegang apa apa kepentingan dan tidak menerima apa apa ganjaran.

“Saya sekadar berkongsi pengalaman dan membantu memajukan pasukan KLUFC, serta memajukan sukan tersebut di Kuala Lumpur. Saya berharap pasukan KL United dapat turut menyumbangkan sesuatu kepada komuniti dan warga Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan.”

Bagi tahun ini, Kuala Lumpur United boleh dikatakan sebagai sebuah pasukan yang serius mahu memberikan saingan sengit dalam Liga Super apabila berjaya mendapatkan khidmat ramai pemain berprofil tinggi seperti Hadin Azman, Safee Sali, Irfan Zakaria, Romel Morales selain melantik Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih.

Umum mengetahui Tan Sri Annuar adalah mastermind dan digelar bapa pembangunan bolasepak Kelantan sepanjang beliau menerajui KAFA bermula tahun 2007.

Kelantan yang pada suatu ketika pasukan kerdil menyerlah menjuarai semua piala peringkat domestik dengan kemuncak kepada era gemilang The Red Warriors sepanjang legasi Tan Sri Annuar Musa adalah kejayaan merangkul kejuaraan treble bersejarah pada tahun 2012, di mana Kelantan dipimpin Bojan Hodak ketika itu.

Tan Sri Annuar juga individu yang bekerja keras untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia buat pemain berdarah kacukan, Brendan Gan selain pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2010-2014.

Malah beliau juga pernah beberapa kali menyatakan hasrat mahu bertanding merebut jawatan Presiden FAM sebelum membuat keputusan menarik diri.

Sudah tentunya pengalaman dan kredibiliti Tan Sri Annuar Musa bukan calang-calang, dan ia bakal menjadi tonik tambahan buat KL United dalam Liga Malaysia 2021.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.