Khalid Jamlus

Tanyalah mereka, kenapa bekas pemain negara ada lesen nak jadi assistant coach pun tak dapat?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus menjadi tumpuan penyokong bolasepak tempatan selepas kisah dia terpaksa menjual barangan peribadi termasuk kasut emas yang dimenangi pada 2002 menjadi viral.

Baca : Khalid Jamlus lepaskan kasut emas dengan harga RM10,100 demi survival

Dia mendedahkan terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup setelah tiga tahun tiada pekerjaan, dengan job terakhirnya adalah sebagai penolong jurulatih PDRM FA.

Dia kini sekadar menerima ‘duit kopi’ menerusi tugasan melatih kanak-kanak di Soccer Ace FC di Subang, pada hujung minggu.

Menjelaskan lebih lanjut kepada twentytwo13, bekas pemain Perak, Selangor dan Kelantan itu berkata dia bukan mahu meraih simpati dengan apa yang dilakukannya, tetapi keadaan mendesak kerana tiada pasukan mahu mengambilnya bekerja.

“Saya terfikir untuk buat macam ini (jual barangan peribadi) setelah sampai satu tahap nak beli susu anak pun tak mampu.

“Isteri saya, Zarina Zainal, memang tidak setuju saya jual barangan ni sebab dia tahu betapa semua tu ada nilai sentimental bagi saya. Tetapi selepas membuat kira-kira akhirnya ini pilihan yang ada walaupun berat.

“Zarina bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat di Klang, dengan gaji dia dapat memang tak cukup. Saya tak boleh biarkan dia menanggung semua ini seorang diri, sebagai ketua keluarga saya harus lakukan sesuatu,” kata Khalid yang mempunyai dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

“Saya akan terus menjual barangan, saya tidak buat sesuatu yang haram. Orang tidak faham apa yang saya dan keluarga lalui. Saya tiada kerja selama tiga tahun, kerana tiada siapa mahu berikan saya peluang terlibat di dalam bolasepak.

“Ini hanya buat sementara waktu, selama beberapa bulan sehingga keadaan menjadi terkawal. Kami menempuh saat sukar, kami hampir kehilangan rumah, saya baru mendapat semula motor manakala kereta pula tersadai di bengkel sebab saya belum jelaskan bayaran. Buat masa ini saya utamakan apa yang penting untuk anak dan keluarga.”

Tambahnya, “Saya juga membantu abang ipar untuk mempromosi minuman tenaga Forca tetapi disebabkan PKP semuanya ditangguh dulu dan secara dasarnya tiada pendapatan.

“Saya mahu terlibat dengan bolasepak tetapi tiada pasukan mahu beri peluang.

“Awak tanyalah kepada pemilik pasukan kenapa seorang bekas pemain kebangsaan yang ada Lesen B dalam kejurulatihan melatih budak-budak bukannya pemain senior.

“Saya ada kelayakan, sudah puas saya meminta sana sini untuk jadi jurulatih, jadi penolong pun takpe tapi tiada hasil. Saya ada juga memulakan perniagaan tetapi akhirnya kecewa kerana ada yang dengki, sakit hati.

“Saya cerita semua ini bukan untuk merayu atau menagih simpati, tetapi untuk memohon diberi peluang (menjadi jurulatih),” kata Khalid.

Versi inggeris artikel ini boleh dibaca di : https://twentytwo13.my/sports/hard-hit-khalid-jamlus-looking-for-job-not-sympathy/

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.