Taufik Hidayat Dedah Cubaan Disogok Untuk Tewas Kepada Chong Wei

Lee Chong Wei (L) of Malaysia shakes hands with Taufik Hidayat of Indonesia after the men's final match at the Indonesia Open Badminton Super Series in Jakarta, Indonesia, 27 June 2010. Lee Chong Wei won the match 21-19, 21-8. EPA/MAST IRHAM
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas bintang badminton perseorangan lelaki Indonesia, Taufik Hidayat mendedahkan dia pernah cuba dirasuah dengan tawaran lumayan oleh salah seorang anggota pasukan badminton Malaysia untuk tewas kepada Datuk Lee Chong Wei dalam aksi separuh akhir Sukan Asia Doha 2006.

Dalam satu temuramah yang dimuatnaik di saluran youtube TransTV, Taufik Hidayat berkata pegawai tersebut menawarkan untuk menggandakan imbuhan yang dijanjikan Indonesia kepadanya jika tewas kepada Chong Wei.

Indonesia ketika itu menawarkan kira-kira 200 juta rupiah (RM60,000) jika dia berjaya untuk mempertahankan pingat emas Sukan Asia buat kali ketiga berturut-turut selepas memenanginya pada 1998 dan 2002.

Di sebalik tawaran lumayan itu, Taufik Hidayat menunjukkan integriti dan membuktikan harga dirinya lebih mahal, apabila menewaskan Chong Wei dengan keputusan 21-16, 21-18 sebelum menewaskan pula Lin Dan 21-15, 22-20 untuk memenangi pingat emas.

Dalam perjalanan penuh gemilang kariernya, Taufik Hidayat juga pernah memenangi pingat emas Sukan Olimpik pada 2004 dan Kejuaraan Dunia pada 2005.

Sementara itu bekas editor GoSports Indonesia, Rahmi Aries Nohva memberitahu portal Cakap Sukan bahawa dakwaan Taufik Hidayat itu pernah disuarakan kepadanya sebaik dia memenangi pingat emas pada 2006, namun ini kali pertama pemain itu mendedahkan secara spesifik tentang individu yang membuat tawaran itu.

Portal tersebut juga mendapatkan kenyataan balas daripada Chong Wei mengenai dakwaan Taufik Hidayat ini, dan ini respon beliau.

“Maaf, saya terkejut dan tidak tahu apa-apa mengenainya. Saya sudah cuba menghubungi Taufik untuk mendengar sendiri daripadanya. Tapi, panggilan saya tidak dijawab lagi.

“Seboleh-bolehnya saya mahu tahu siapa pegawai yang dimaksudkannya itu kerana nama saya diseret sama. Waktu Sukan Asia Doha, saya masih dikira mentah ketika itu apa lagi ia adalah penampilan pertama di temasya tersebut.

“Walaupun saya kalah, saya masih mahu tahu lebih lanjut terutama nama pegawai yang disebut Taufik. Bayangkan kalau saya menang dalam perlawanan itu, pastinya ia memberi kesan yang lebih buruk,” kata Chong Wei yang menoktahkan kariernya pada 2019.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.