Tenang, tak perlu kalut!

Aidil Shahrin jurulatih KDAFC
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak tidak mahu barisan pemainnya tertekan memikirkan tentang peluang untuk menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua seterusnya menyambar tiket beraksi di Piala AFC 2021.

Mengakui saingan semakin sengit menuju ke dua aksi terakhir, Aidil Shahrin mahu kekal tenang dan memberi fokus untuk meraih enam mata maksimum bermula dengan aksi menentang Melaka United pada Ahad dan kemudiannya Perak.

“Bagi saya, kami hanya perlu fokus perlawanan demi perlawanan dan tidak perlu lagi fikir sama ada kita mampu layak ke Piala AFC atau tidak.

“Maknanya bila kita dah menang kedua-dua aksi terakhir ini, jadi kita memang akan ke Piala AFC dan sebab itu pemain perlu lebih tenang untuk menghadapi baki dua lagi perlawanan ini.

“Yang penting, fokus dan disiplin sangat dititikberatkan dan saya begitu yakin dengan pemain-pemain saya bahawa mereka akan memberikan lebih 100 peratus pada hari Ahad ini.

“Perlu ingat, dua perlawanan ini sangat penting, begitu juga dengan Perak di mana mereka akan bertemu Pahang terlebih dahulu, bukan mudah untuk Perak, dan selepas itu akan menentang Kedah pula di mana di situlah akan menjadi penentu segala-galanya,” jelas Aidil Shahrin.

Kedah pada minggu lalu tewas 1-2 kepada Pahang – kekalahan yang menoktahkan rekod lima kemenangan berturut-turut mereka dan ketika ini di tangga ketiga dengan 16 mata, hanya dibezakan satu mata di belakang Perak yang menduduki tangga kedua.

Turut berada dalam landasan untuk menyambar kedudukan dua teratas adalah UiTM FC yang kini di tangga keempat – skuad Frank Bernhardt itu akan menentang PJ City FC pada Jumaat di Stadium UiTM Shah Alam, dan Sabah pada perlawanan terakhir.

Tidak ketinggalan mempunyai peluang adalah Terengganu FC dan Pahang (masing-masing mengunpul 13 mata) manakala Selangor dan Melaka United yang mengutip 11 mata pula perlu mengharapkan keajaiban.

Selain perebutan tempat kedua, saingan minggu ini juga menyaksikan PJ City FC, Felda United dan Sabah bersaing untuk keluar dari zon penyingkiran.

Foto : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.