Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakTengku Fahd akan pacu Pahang Rangers mengaum lebih garang

Tengku Fahd akan pacu Pahang Rangers mengaum lebih garang

Selepas menamatkan edisi sulung Malaysian Premier Futsal League (MPFL) pada 2019 sebagai naib juara, Pahang Rangers FC diramal akan tampil lebih energetik untuk merampas kejuaraan dari Selangor pada tahun 2020.

Dengan dibarisi skuad dipenuhi pemain bintang, mereka diyakini boleh melakukannya namun malang sekali, Covid-19 menyebabkan hasrat itu tertangguh apabila pertandingan terpaksa dibatalkan selepas hanya satu perlawanan.

Begitupun mungkin ramai tidak tahu, pembatalan pertandingan serta ketiadaan sebarang aktiviti dalam kalendar futsal tanah air sepanjang lebih setahun, tidak pernah membuatkan Pahang Rangers berhenti ‘bekerja’.

Di kala ada pasukan menghentikan sesi latihan, ada yang menangguhkan kontrak pemain dan pegawai pasukan, malah mengambil pendekatan menunggu Persatuan Bolasepak Malaysia untuk update terlebih dahulu perancangan kalendar MPFL 2021 sebelum kembali berkumpul, berbeza dengan Pahang Rangers.

Dari pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, para pemain hingga ke staff belakang tabir menunjukkan komitmen luar biasa, tanpa mengambil pusing ada atau tiada aktiviti, sekaligus memberi indikasi betapa pasukan itu mempunyai visi yang cukup jelas untuk mengangkat martabat futsal, dan sudah bersedia untuk mengaum lebih garang pada tahun ini.

Dan jika ada seorang individu yang wajar dihamburkan pujian atas kelancaran perjalanan Pahang Rangers, ia tidak lain pemilik pasukan itu YAM Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau adalah ‘the TMJ of futsal’.

Tengku Fahd diketahui mempunyai keghairahan dan passion yang cukup tinggi terhadap sukan ini yang lazimnya dianggap sukan riadah, tetapi penyokong bolasepak pasukan Pahang khususnya pasti mempunyai 1001 sebab untuk cemburu melihat bagaimana beliau menjadikan Pahang Rangers pasukan tumpuan yang disegani dalam tempoh tidak sampai lima tahun.

Dalam satu laporan oleh sports247, Tengku Fahd menceritakan tertubuhnya Pahang Rangers FC atau dikenali dengan nama Kuantan Rangers FC (KRFC) pada awal penubuhannya di penghujung 2016, adalah kerana tidak mahu bakat-bakat muda dan berkualiti sukan futsal khususnya di negeri Pahang terbiar tanpa halatuju dan pendedahan yang betul.

Malah lebih dari itu, Tengku Fahad mahu kewujudan kelab itu bukan sahaja mewujudkan suasana persaingan sihat, tetapi dalam masa sama dapat membuka lembaran baru seterusnya menjadi penanda aras bagi arena futsal tempatan yang dilihat tidak begitu  bersinar.

“Kita mempunyai begitu ramai pemain berkualiti. Adanya KRFC, pertamanya adalah untuk pembangunan pemain dan bakat muda, keduanya memberi fokus kepada pemain-pemain dari Pahang, ketiga boleh berdikari, dan paling penting menjadi kelab yang profesional.

Tengku Fahd Tengku Fahd akan pacu Pahang Rangers mengaum lebih garang

“Kita beri pemain-pemain ini pendedahan dan latihan yang betul, untuk membuat mereka faham bahawa platform sudah tersedia dan sekiranya mereka bermain dengan baik mereka boleh mendapat peluang bukan sahaja mengembangkan bakat di dalam negara tetapi juga di luar.

“Malah jurulatih turut dihantar ke kursus, diberi lebih latihan agar satu hari mereka bukan sahaja melonjakkan nama KRFC, tetapi juga arena futsal tempatan.”

Tengku Fahd menambah, penubuhan kelab ini bermula dari minat yang mendalam serta rasa cinta yang cukup tebal terhadap sukan itu selain keinginan mahu melonjakkan arena futsal negara ke tahap yang lebih disegani.

“Pahang Rangers sebuah kelab yang mempunyai elemen kekeluargaan. Sebenarnya ia bermula sejak saya masih kecil lagi, malah saya sendiri membesar dengan bermain futsal bersama pasukan Kuantan ketika berusia 8 – 10 tahun sebelum saya sambung belajar di luar negara. Jadi ikatan itu sentiasa membuatkan saya dekat dengan sukan futsal ini.

“Sejurus kembali dari luar negara, saya lihat ada keperluan untuk membangunkan futsal, ia tidak diuruskan secara professional sepertimana bolasepak. Bolasepak sudah begitu jauh maju ke depan tetapi futsal masih lagi semi-pro. Sebagai contoh mudah, kita tidak mempunyai pemain futsal sepenuh masa, boleh dikatakan pemain futsal di Malaysia hanyalah sambilan dan bekerja.

“Jadi saya melihat ianya peluang terbaik untuk mencetus satu pembaharuan, membawa futsal di Malaysia ke aras lebih tinggi. Saya telah berbincang dengan Tengku Aidy (Naib Presiden) yang ketika itu mempunyai pasukan Sri Kotasas FC yang bermain baik dalam pertandingan tempatan. Kami fikir ia satu idea yang baik untuk menubuhkan Kuantan Rangers,” ujar Tengku Fahd.

Sebaik ditubuhkan pada bulan November 2016, KRFC telah mengambil bahagian di pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 yang membabitkan 10 pasukan namun gagal untuk meneruskan kemaraan setelah menduduki tangga keempat Kumpulan B.

Meskipun mengakui sedikit kecewa dengan kegagalan tersebut, Tengku Fahd bagaimanapun tidak menjadikan ianya sebagai alasan untuk patah semangat.

Sebaliknya banyak perancangan diatur untuk memacu perkembangan dan pembangunan pemain-pemain serta jurulatih pasukan itu dalam usaha menjadikan KRFC sebagai sebuah pasukan mantap dan berdaya saing.

Hasilnya pasukan itu mencipta sejarah muncul juara Liga Futsal Brunei 2017, layak ke LFK pertama kali pada 2018 dan menamatkan musim tersebut di tangga kelima.

Bintang futsal terkemuka dunia, Rico Zulkarnain juga pernah menyarung jersi pasukan itu.

Mereka mula dikenali dengan nama Pahang Rangers pada 2019 susulan penjenamaan semula setelah bergabung dengan pasukan futsal negeri Pahang, seterusnya berjaya memancing ramai pemain kebangsaan dan muncul naib juara MPFL dalam masa tiga tahun.

Kini mereka mempunyai 11 pemain kebangsaan di dalam pasukan termasuk kapten Harimau Malaya Khairul Effendy Bahrin dan tonggak skuad AFF seperti Abu Haniffa Hasan, Ridzwan Bakri, Farikh Khabibor, Saiful Nizam Ali dan Awalludin Mat Nawi.

Kelab itu juga telah menjalin kerjasama dengan pasukan-pasukan gergasi dari Asia Tenggara dalam usaha untuk memastikan tahap kompetitif pasukan boleh dijaga selain dapat terus mempelajari sesuatu yang baru malah mungkin juga melakukan program pertukaran pemain.  

Antaranya Vamos Mataram (Indonesia) dan Chonburi Bluewave (Thailand) serta kelab La Liga Levante UD.

“Sebagai sebuah kelab baru, kita tidak boleh berbangga atau meninggi diri, perlu sentiasa bersyukur kerana diberi peluang untuk belajar dari kelab yang sudahpun menempa nama. Sebagai contoh, kita perlu akui Thailand sudah jauh mengorak langkah ke depan dalam bolasepak dan futsal.

“Kita mempunyai peluang untuk belajar dari mereka bagaimana mereka melakukannya, itu apa yang saya harapkan dari kerjasama dengan kelab dari Asia Tenggara nanti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden KRFC, YM Tengku Aidy Ahmad Shah turut berkongsi pandangan sama dengan menekankan bahawa penubuhan kelab itu bukan sekadar projek ‘suka-suka’ justeru menjelaskan visi Pahang Rangers adalah untuk menjadi sebuah kelab professional yang bukan sahaja terbaik di Malaysia, tetapi juga di rantau Asia. 

“Apa sekalipun, terima kasih kepada TAT (Tengku Arif Temenggong) di atas inisiatif dan kerja kerasnya untuk wujudkan pasukan ini. Beliau sentiasa suportif terhadap pasukan ini, dan saya percaya kita mampu meletakkan satu penanda aras baru buat sukan futsal di Malaysia.” 

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.