Tengku Hassanal titah Kerajaan Negeri ambil langkah segera hadapi pasca Covid-19

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya Kerajaan Negeri mengambil langkah segera menghadapi pasca COVID-19 dengan mengumpulkan semua kepakaran untuk memberi nasihat.

Ini termasuk dengan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Pahang yang diharap dapat memulihkan semula ekonomi negeri dan sumber kewangan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 ini selain mengadakan perbincangan bersama pemain industri termasuk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Baginda juga menyeru pentadbiran Kerajaan Negeri supaya bersedia dengan persekitaran sosio-ekonomi yang dijangkakan akan berlaku normal baharu, ditambah pula ramalan kelembapan ekonomi global yang akan menjejaskan negara.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri perlu merancang inisiatif yang lebih menyeluruh supaya semua pihak dapat bersedia dan berikhtiar bagi merancakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan serta memastikan jentera Kerajaan Negeri berfungsi lebih cekap dan berkesan melalui perkhidmatan yang disediakan,” titah baginda menerusi sidang video ketika merasmikan Pembukaan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang pada Isnin.

Baginda turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan berjumlah RM10.65 bilion bagi membiayai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 sejak dari tahun 2016 sehingga 2020.

“Dengan adanya kelulusan tersebut, rakyat dapat menikmati pelbagai kemudahan, antaranya seperti jajaran jalan raya yang sistematik melalui Projek Central Spine Road (CSR) dan projek-projek bekalan air terawat bagi memastikan peratus capaian air terawat dapat disalurkan 100 peratus ke segenap penduduk negeri ini.

“Saya berharap pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 yang sedang berjalan ini dapat diteruskan dengan jayanya dalam usaha untuk memacu ekonomi negeri dan yang paling penting ia memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat saya.

“Kerajaan saya tidak terkecuali untuk turut memperuntukkan RM120.75 juta yang meningkat sebanyak 23 peratus daripada tahun lepas untuk tujuan pembangunan dan saya yakin dapat merancakkan semula perkembangan ekonomi negeri dan aliran tunai dalam pasaran setelah negara terkesan dengan wabak COVID-19,” titah baginda.

Foto ehsan : Ig This7

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.