Tengku Muhammad : “Saya tak nak marah, cuma minta awak semua bangun”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah meniup semangat barisan pemain Sri Pahang FC agar mereka bangkit berjuang untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Super.

Susulan prestasi suram skuad tok gajah musim ini, mereka terperosok di kedudukan kedua tercorot dengan hanya lima mata sekaligus berpotensi tersingkir ke Liga Premier dan ia ternyata mendapat perhatian Tengku Muhammad Iskandar yang tidak mahu Sri Pahang berterusan tampil longlai.

“Sudah, saya tidak mahu dengar alasan lagi, I want you all to work as hard as you can (saya mahu anda semua bekerja sekeras mungkin) sampai habis musim ini, berapa bulan saja lagi, awak boleh rehat lepas bulan 11 (saingan Liga-M tamat), empat bulan berehat.

“Tetapi sekarang harus kerja keras, kecergasan kena dipertingkatkan balik dan (gaya) pemikiran kena tukar.

“Saya tak nak marah, saya cuma nak suruh awak (semua pemain) bangun sikit, awak semua bagus, you all good and can do it (anda semua bagus dan boleh lakukannya),” kata Tengku Muhammad Iskandar dalam video yang dikongsikan menerusi akaun Instagram rasmi miliknya, @tabtms.

Tengku Muhammad Iskandar sebelum itu turun meninjau sesi latihan pasukan Sri Pahang menjelang perlawanan menentang Uitm FC di Stadium Darulmakmur, selain mengambil peluang untuk memberi kata-kata semangat secara bersemuka dengan pemain dan pegawai pasukan.

Sri Pahang ketika ini melalui prestasi terburuk dalam sejarah penyertaan mereka dalam kancah Liga Super, apabila hanya menang sekali dalam 10 perlawanan – satu-satunya kemenangan mereka adalah ke atas Sabah FC pada perlawanan keempat dan telah mengharungi enam perlawanan terakhir tanpa kemenangan.

Kekalahan mengaibkan 0-3 yang dialami di tangan Penang FC tempoh hari merupakan kekalahan ketiga berturut-turut skuad bimbingan Dollah Salleh.

Mereka dijangka akan membuat rombakan besar terhadap barisan pemain apabila jendela perpindahan dibuka pada 3 Mei, dengan Aung Kaung Mann (penyerang skuad kebangsaan Myanmar) bakal dibawa masuk untuk memantapkan jentera serangan.

Malah Sri Pahang juga dilaporkan sedang berunding  membawa masuk Adisak Kraisorn, penyerang skuad kebangsaan Thailand.

Kedua-dua pemain ini disebut-sebut akan menggantikan Yevhen Bokhashvili dan Pedro Hendrique yang gagal memberikan impak sejak menyertai pasukan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.